SIBU: Tradisi meraikan perayaan secara bersama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak terus menjadi teras kepada keharmonian negeri ini, mencerminkan keakraban dan perpaduan yang kukuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata amalan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kaum, malah menjadi simbol keharmonian unik yang diwarisi oleh rakyat Sarawak sejak sekian lama.
“Bukan sahaja dalam perayaan, malah dalam kehidupan seharian, masyarakat di Sarawak berkongsi pelbagai tradisi, warisan dan budaya. Sebagai contoh, tarian singa yang biasanya dikaitkan dengan kaum Cina kini turut dipelajari oleh masyarakat Bumiputera.
“Ini menunjukkan betapa kita saling belajar dan menghargai tradisi antara satu sama lain,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Persatuan Teochew Sibu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Masyarakat Teochew Daerah Sibu, di sini, semalam.
Menurut Chieng, keunikan budaya di Sarawak turut dapat dilihat dalam tarian tradisional seperti Ngajat yang berasal daripada masyarakat Iban, namun kini dipersembahkan oleh pelbagai kaum.
“Malah, tarian poco-poco yang popular di Sarawak juga dikuasai oleh semua lapisan masyarakat, membuktikan rakyat negeri ini mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada keharmonian yang berterusan,” katanya.
Pada majlis itu, Chieng turut memuji usaha gigih Persatuan Teochew Sibu dalam mengajak masyarakat berbilang kaum untuk bersama-sama meraikan perayaan ini.
“Majlis ini bukan sahaja mencerminkan semangat TBC, tetapi juga menjadi platform perpaduan dengan kehadiran pelbagai kaum yang bersama-sama menyaksikan persembahan tarian tradisional seperti tarian singa, naga dan ngajat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Su Hiap Soon, berkata majlis rumah terbuka ini bukan sekadar acara perhimpunan, tetapi peluang untuk mengeratkan hubungan dan berkongsi kegembiraan antara kaum.
“Kami berharap program seperti ini dapat terus memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti serta juadah tradisional pelbagai kaum.
Turut hadir, Penghulu Chua Hiong Kee, Pengerusi Persatuan Teochew Sibu, Kapitan Su Ngio Kee serta tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting