BINTULU: Tiada mana-mana pihak atau parti politik berhak mengumpul dana sewenang-wenangnya atas nama sendiri bagi membantu mangsa banjir, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Seri Tiong King Sing.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta mencegah eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan atas usaha bantuan bencana untuk meraih keuntungan peribadi.
“Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai, terutamanya pada masa kes penipuan yang berleluasa, kerana tindakan sedemikian menggalakkan pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi usaha bantuan bencana untuk meraih keuntungan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Pejabat Residen, kelmarin.
Beliau menegaskan, semua parti politik harus menggunakan platform mereka untuk mengajak orang ramai menderma melalui saluran rasmi seperti JPBNS bagi memastikan dana dan sumber bantuan diurus dengan berkesan serta benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Parti politik mesti mengelak daripada mengumpul dana di bawah nama mereka sendiri atau sesetengah pihak yang mengumumkan kononnya bahagian tertentu dana akan didermakan terus kepada keluarga yang terjejas,” katanya.
Tambah Tiong, jika orang ramai ingin menyumbang, parti politik boleh menyediakan saluran derma yang jelas atau membantu menyalurkan dana kepada JPBNS bagi usaha bantuan banjir di Bintulu.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengelakkan kekeliruan orang ramai tetapi juga membolehkan audit dilakukan dengan telus bagi mengesahkan penggunaan dana yang betul,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa semua sumbangan perlu disalurkan kepada Pejabat Residen, yang akan mengawasi dana secara berstruktur bagi memastikan bantuan diberikan secara sistematik dan telus.
“Semua derma mesti disalurkan dengan betul dan benar-benar memberi manfaat kepada mangsa banjir dan memudahkan penyimpanan rekod yang sistematik untuk pengauditan dan pengesahan masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, JPBNS akan mewujudkan akaun derma rasmi sebagai saluran sumbangan yang sewajarnya, dan orang ramai diminta bersabar sementara menunggu pengumuman rasmi mengenainya.
Beliau memberitahu, semua parti politik dan ahli politik mesti mengelakkan kutipan dana bebas, walaupun mereka mengeluarkan resit untuk derma, kerana tindakan itu tidak wajar dan boleh menimbulkan kekeliruan.
“Ini juga bertujuan mengelakkan orang ramai keliru atau membenarkan individu yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan peribadi, mewujudkan musibah yang tidak perlu,” katanya.
Tiong turut menyeru semua pihak agar memainkan peranan mereka dengan bertanggungjawab untuk memastikan usaha bantuan banjir dapat disalurkan secara cekap tanpa gangguan atau kekeliruan.
Oleh Carolyne Utih