KUCHING: Hampir semua aktiviti ekonomi beroperasi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan bermula 10 Jun lalu.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi ini tentu sekali memberi kelegaan kepada peniaga dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Pandemik Covid-19 dan PKP telah menunjukkan betapa pentingnya digital ekonomi dalam kehidupan dan kelangsungan perniagaan.
“Ini membawa kepada perubahan lanskap perniagaan yang lebih menjurus kepada penggunaan teknologi digital dalam kehidupan harian dan operasi perniagaan,” katanya dalam wawancara khas sebuah televisyen tempatan semalam.
Antara inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) dalam membantu penjaja dan peniaga kecil semasa PKP kata Naroden adalah Platform Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS) di seluruh Negeri.
“Platform ini telah disertai lebih kurang 7,600 penjaja dan peniaga kecil dengan anggaran jualan berjumlah RM 35 juta semasa bulan Ramadan.
“Ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menggalakkan usahawan meluaskan pasaran produk mereka melalui platform digital,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, program-program pembangunan kapasiti usahawan melalui platform digital diwujudkan seperti Kursus Pensijilan Pengendalian Makanan, Kursus eUsahawan, Promosi dan Pemasaran melalui media sosial (YouTube dan TikTok), Platform e-dagang Sarawak dan Kursus Pendaftaran Lesen Perniagaan.
Sementara itu, Naroden menambah bantuan juga disediakan antaranya Skim Pinjaman Industri Kecil Sederhana (SPIKS) Pinjaman mudah RM 20,000 hingga RM250,000 (empat peratus baki berkurangan bulanan), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) – Geran maksimum RM20,000, Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) – Geran maksimum RM20,000, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Subsidi kadar faedah untuk SRF – Maksimum RM 500,000.
Manakala, Sarawak Entrepreneurship Grant yang menawarkan bantuan kewangan yang merangkumi tiga kategori iaitu Sarawak eCommerce and Innovation Grant – RM 5,000 untuk usahawan menyertai digital marketing & adoption of electronic payment systems dan RM 20,000 untuk mewujudkan ePlatform untuk komuniti perniagaan; Sarawak Markerting Development Grant – maksimum RM 20,000 untuk PKS menyertai ekspo peringkat kebangsaan dan antarabangsa; dan Product Development and Commercialization Grant – RM 200,000 untuk program/projek yang berkaitan dengan pembangunan dan pengkomersilan produk.
Oleh Diyana Samsuddin