BINTULU: Kerajaan Sarawak menggerakkan usaha segera bagi memulihkan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir besar yang melanda beberapa daerah di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keutamaan diberikan untuk baik pulih jalan yang terputus, sistem perparitan, serta pemulihan bekalan air dan elektrik bagi memastikan kehidupan penduduk kembali seperti biasa.
“Bencana kali ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan luar biasa.
“Ia bukan hanya berlaku di Bintulu tetapi juga menjejaskan Miri, Baram, Limbang, Kuching, Serian dan Gedong.
“Keadaan ini bukan berpunca daripada infrastruktur yang lemah, tetapi akibat perubahan iklim yang mencetuskan corak cuaca tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa beberapa kawasan terjejas mengalami gangguan bekalan air bagi tujuan keselamatan.
“Selepas keadaan selamat, bekalan ini akan dipulihkan dengan segera,” jelasnya.
Selain itu, Premier Sarawak menegaskan aspek kesihatan awam turut menjadi perhatian bagi mengelakkan penularan penyakit akibat air banjir.
“Kita perlu berwaspada terhadap risiko penyakit bawaan air.
“Oleh itu, pemantauan kesihatan akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang jangkitan yang boleh membahayakan masyarakat,” katanya.
Oleh Carolyne Utih