![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/20250201_105847-1000x563.jpg)
KUCHING: Penubuhan Rumah Singgah ‘Dawn Hope: A Safe Haven for Girls in Need’ memainkan peranan signifikan dalam menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan untuk ibu muda daripada golongan rentan.
Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata pusat perlindungan yang diterajui oleh Yayasan Sime Darby (YSD) dan Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) itu merupakan yang pertama seumpamanya di negeri ini.
“Dawn Hope adalah lebih daripada tempat perlindungan transit. Ia adalah tempat perlindungan untuk gadis-gadis muda untuk menyembuhkan, belajar dan membina semula kehidupan mereka.
“Di sini, mereka akan menerima sokongan penting termasuk perlindungan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kesihatan mental, kaunseling dan bimbingan keibubapaan,” katanya.
![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/20250201_105406-1000x563.jpg)
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Dawn Hope: A Safe Haven for Girls in Need’ di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Ketika ditanya semasa sidang media berkenaan tapak pembinaan rumah singgah tersebut, Nancy bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci lokasinya dan hanya memaklumkan ia akan dibina di Kuching.
“Pada masa ini kita tidak akan mendedahkan lokasi tapak pembinaannya atas sebab tertentu dan ia akan diuruskan oleh PPIS.
“Ia akan dibina di Kuching sekali gus menjadi pusat pertama seumpamanya di Sarawak,” jelasnya.
Inisiatif ‘Dawn Hope’ tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) selama sembilan bulan dan menawarkan sokongan penting termasuk penjagaan kesihatan, kaunseling dan latihan kemahiran untuk golongan ibu-ibu muda.
Sementara itu, Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata program itu mencerminkan komitmen YSD dan PPIS dalam membantu remaja yang memerlukan terutamanya komuniti di luar bandar.
“Program ini bertujuan untuk menangani isu sosial seperti pencegahan kehamilan bawah umur dan pembuangan bayi dengan menyediakan ruang yang selamat, peluang pendidikan dan program kesedaran.
“Menerusi inisiatif ini, setiap penghuni akan menerima sokongan yang diperlukan untuk kembali ke pangkuan masyarakat,” ujarnya.
Oleh Rynna Sha’erra