BINTULU: Usaha pemulihan pasca banjir di Bintulu harus diberi keutamaan, bukannya mencari kesalahan pihak tertentu, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Beliau berkata, usaha pemulihan yang sebenar melibatkan kerja keras di lapangan, serta memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Pemulihan bukan hanya soal pembersihan atau publisiti, ia memerlukan usaha yang mendalam dan berpanjangan.
“Daripada menuding jari atau mencari kesalahan, sebaiknya kita bersama-sama berusaha mengatasi cabaran ini,” katanya ketika melawat beberapa kawasan yang terjejas termasuk kawasan sampah Bandar Jaya, Hospital Bintulu, dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Muhibah di sini, hari ini.
Selain itu, beliau memuji semangat masyarakat setempat yang tampil secara sukarela membantu kerja-kerja pembersihan meskipun mereka sendiri turut terjejas akibat bencana itu.
“Ketika musibah melanda, masyarakat Bintulu membuktikan bahawa semangat kebersamaan lebih penting daripada menyalahkan sesiapa.
“Sukarelawan turun membantu tanpa berfikir dua kali, memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.
“Inilah semangat sebenar anak Sarawak saling membantu tanpa memandang kepentingan peribadi,” jelasnya.
Dr. Sim turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johnny Pang Leong Ming, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, serta Majlis Bandaraya Miri yang telah menggerakkan pasukan sukarelawan untuk membantu dalam usaha pemulihan.
“Saya juga berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan termasuk penghantaran tilam dari Kuching, yang semuanya datang melalui sumbangan, bukan dibeli,” tambah beliau.
Dengan kerjasama yang kukuh dan semangat yang padu, beliau percaya Bintulu akan mampu bangkit lebih cepat dan lebih kuat daripada cabaran yang dihadapi.
Oleh Carolyne Utih