![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250201-WA0020-1000x750.jpg)
SIBU: Penganjuran rumah terbuka sempena musim perayaan terus menjadi wadah dalam memupuk semangat perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan bahasa.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau berkata, masyarakat di Sarawak sememangnya mengamalkan budaya meraikan perayaan bersama-sama, sekali gus mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian kaum di negeri itu.
“Sebagai contoh, ketika Hari Raya, kita turut meraikannya bersama. Begitu juga dengan Krismas dan Gawai, kita akan mengunjungi rumah panjang untuk berkumpul dan menikmati suasana perayaan.
“Hari ini, sempena Tahun Baharu Cina, kita menerima kehadiran kaum Iban dan Melayu yang datang bersama-sama meraikan perayaan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Pusat Khidmat Parlimen Lanang di Jalan Lanang di sini, hari ini.
![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250201-WA0010-1000x750.jpg)
![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250201-WA0021-1000x750.jpg)
Majlis rumah terbuka itu menarik kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung, meskipun hujan renyai tidak menghalang orang ramai daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.
Lau berkata, bagi memastikan semua tetamu dapat menikmati juadah yang disediakan, makanan yang dihidangkan pada majlis itu adalah halal sebagai tanda keharmonian dalam kepelbagaian budaya di negeri ini.
“Sebanyak 1,500 pek makanan dan 1,500 angpau diagihkan kepada pengunjung yang hadir pada majlis berkenaan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting