PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam mengumumkan lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat-pusat beli belah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Julai ini, 54 buah taman tema termasuk taman tema air akan mula beroperasi, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.
Selaras dengan keputusan semalam juga, saringan suhu badan pelanggan pusat beli belah dilakukan sekali sahaja iaitu di pintu masuk utama, dan bukan di setiap kedai dalam pusat beli belah.
Bagaimanapun, pengusaha semua taman tema dan pusat beli belah perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.
“Bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema. Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan,” katanya dalam sidang media harian semalam.
Jelasnya, bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.
Beliau berkata, garis panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut.
Kedai-kedai di pusat beli belah dan hotel, walaupun tidak lagi perlu menyaring suhu badan pelanggan namun masih perlu merekodkan kehadiran seperti nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.
“Ini bagi membolehkan pengesanan kontak dilakukan, sekiranya terdapat insiden jangkitan Covid -19. Ini kerana kemungkinan terdapat pelanggan yang pergi ke 10 buah kedai, jadi bagi memastikan pengesanan individu sekiranya dijangkiti Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mendapatkan maklumat dan sebab itu kita masih mewajibkan rekod kehadiran,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai majlis jamuan perkahwinan Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga bersetuju, membenarkan jumlah tetamu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa bagi majlis perkahwinan dan akad nikah di masijd, dewan, rumah dan sebagainya.
“Had tetamu ini tertakluk kepada saiz keluasan dan kapasiti ruang serta pematuhan SOP berkaitan yang berkuatkuasa. Kebenaran jumlah tetamu ini juga diberi kepada Majlis Jamuan Perkahwinan di Rumah Ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam,” katanya.
Sebelum ini dilapor, kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai 1 Julai. — Bernama