SERIAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa bantuan khas banjir sebanyak RM1,000 hanya diberikan kepada mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), menjelaskan bahawa pihaknya memahami kebimbangan sesetengah penduduk yang enggan berpindah, namun aspek keselamatan nyawa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Kami meminta Residen dan Pengerusi Pengurusan Bencana di peringkat bahagian untuk menyemak senarai mangsa yang enggan berpindah dan mengenal pasti sebab mereka.
“Jika ada alasan yang munasabah, kita boleh pertimbangkan (bantuan) tetapi kita tidak boleh beritahu sekarang bahawa kita akan beri pampasan. Jika tidak, tiada siapa yang mahu berpindah ke PPS,”katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Dewan Serbaguna Ranchan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir dan berpindah ke PPS.
Beberapa nitizens dalam sosial media antara lain meminta penjelasan pihak berkuasa sama ada mangsa banjir yang berpindah ke rumah saudara, tetapi bukan ke PSS, akan turut menerima bantuan RM1,000 itu atau tidak.
Uggah berkata tindakan memindahkan mangsa ke PPS adalah langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk risiko nyawa terancam akibat banjir yang semakin meningkat.
“Jika seseorang enggan berpindah dan sesuatu yang buruk berlaku, pihak berkuasa akan dipersalahkan. Sebab itulah kita menggerakkan jentera untuk memujuk mereka berpindah ke PPS,” katanya.
Dalam pada itu, merujuk kepada kejadian banjir di Bintulu baru-baru ini, beliau berkata hampir 2,000 penduduk dipindahkan ke PPS bagi memastikan keselamatan mereka, walaupun ada yang pada awalnya enggan berpindah.
Pada masa sama, Uggah memberi jaminan bahawa pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan mengawasi kawasan yang ditinggalkan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah atau kecurian.
“Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata memberi jaminan bahawa anggota PDRM dan ATM akan memantau kawasan terjejas bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan mangsa banjir agar berpindah ke PPS, namun jika mereka mempunyai alasan tertentu untuk tidak berbuat demikian, mereka perlu memaklumkannya kepada pihak berkuasa.
“Ini bagi membolehkan mereka didaftarkan dan seterusnya dipertimbangkan oleh pegawai daerah serta Residen sebelum laporan dikemukakan ke ibu pejabat,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal