BINTANGOR: Kampung Rambutan di Pakan dikenal pasti sebagai antara kawasan rendah berisiko banjir di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, kata Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin.
Sementara itu, di Julau, terdapat enam kawasan rendah berisiko banjir telah dikenal pasti oleh pihaknya.
“Di Julau, enam kawasan rendah berisiko banjir yang dikenal pasti adalah di kawasan rumah panjang yang terputus hubungan dengan jalan utama.
“Di Meradong setakat ini, dua kawasan rendah adalah di Nanga Stras dan Lemayong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, bagi menghadapi musim banjir atau monsun timur laut (MTL), aset pihaknya dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk operasi menyelamat.
“Alhamdulillah, aset kita (BBP Bintangor) seperti bot, kenderaan pacuan empat roda dan jentera dalam keadaan baik.
“Setakat ini, seramai 22 anggota bomba bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor,” katanya.
Tambahnya, bagi menghadapi musim banjir dan tanah runtuh, pihaknya telah melakukan persediaan awal.
“Ia termasuklah penyediaan sumber tenaga kerja dan logistik, latihan dan simulasi bencana, pemantauan di kawasan rendah berisiko banjir dengan kerap dan kerjasama dengan agensi berkaitan serta kempen kesedaran awam,” katanya.
Dalam pada itu, Mahmudin berharap penduduk yang terjejas menghubungi pihaknya untuk bantuan segera.
“Bagi penduduk yang mendiami kawasan rendah berisiko banjir dan kawasan tinggi berisiko tanah runtuh, maklumkan segera dengan pihak kami sekiranya memerlukan bantuan untuk berpindah,” katanya.
Oleh Earl Anek