BINTULU: Maxim E-hailing menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Bintulu yang terjejas akibat bencana itu sejak beberapa hari lalu.
Bantuan tersebut disalurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang, dan diberikan kepada 2,400 mangsa di Stadium Muhibbah.
Ketua Maxim Bintulu, Leonardo berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban keluarga yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.
“Bencana ini berlaku pada hari pertama Tahun Baharu Cina (TBC yang sepatutnya menjadi masa untuk perayaan dan pertemuan keluarga, sebaliknya ramai yang terpaksa menghadapi kesukaran.
“Walaupun bantuan kami mungkin tidak besar, kami cuba membantu sedaya upaya dengan menyediakan makanan kering, barangan kebersihan, dan keperluan asas lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumbangan yang diberikan termasuk tuala wanita, sabun, tisu tandas, biskut, air mineral, mi segera dan barangan lain yang diperlukan oleh mangsa banjir.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Faiz Kassim menzahirkan rasa penghargaan terhadap bantuan yang diberikan setelah keluarganya dipindahkan ke PPS akibat kediamannya dinaiki air.
“Kami dipindahkan ke sini pada Rabu selepas air naik di sekitar pangsapuri kami.
“Banyak barangan tidak dapat dibawa kerana pengangkutan terhad.
“Saya sangat bersyukur dengan sumbangan ini kerana bekalan sebelum ini hampir habis dan perlu dikongsi dengan ribuan mangsa lain,” katanya.
Difahamkan, program tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Maxim E-hailing dalam menyokong komuniti yang memerlukan dan berharap bantuan tersebut dapat memberi manfaat kepada mangsa yang terjejas.
Oleh Carolyne Utih