BINTULU: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dilaporkan hilang di perairan Bintulu selepas terputus hubungan komunikasi sejak 29 Januari lalu, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan tiga kru warga Indonesia yang mengendalikan vesel berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan daripada seorang pengadu, Faiz Yong Abdullah, sekitar 4.00 petang, kelmarin.
Vesel tersebut berlepas ke laut pada 26 Januari untuk menangkap ikan, namun gagal dihubungi sejak 29 Januari.
Majikan kru terbabit telah membuat laporan polis berikutan kegagalan menghubungi mereka melalui alat komunikasi radio dan telefon bimbit.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 30 Januari, 9.00 malam, dengan bot KILAT 44 dikerahkan bagi usaha pencarian awal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun, operasi pada malam pertama terpaksa ditangguhkan akibat keadaan cuaca buruk dengan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam dan ombak setinggi 2.5 meter.
Operasi CARILAMAT hari kedua dimulakan pada 8.00 pagi tadi dengan penubuhan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Pasukan Polis Marin Jepak.
Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu dan agensi keselamatan lain turut membantu dalam usaha pencarian tersebut.
Dalam pada itu, Suffian mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan ketika berada di laut bagi mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan vesel ini atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544 untuk tindakan segera,” ujarnya.
Operasi CARILAMAT akan diteruskan hari ini bagi mencari vesel dan mangsa yang masih hilang.
Oleh Carolyne Utih