KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) serta agensi-agensinya bersiap siaga untuk menangani gangguan bekalan dan memulihkan perkhidmatan dengan selamat susulan cuaca buruk dan banjir di Sarawak.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak menyebabkan gangguan terhadap bekalan elektrik, air, dan perkhidmatan telekomunikasi.
“Bagi memastikan keselamatan orang awam, pasukan teknikal Sarawak Energy Berhad (SEB) terpaksa menutup sementara beberapa pencawang elektrik di kawasan yang paling terjejas akibat paras air yang meningkat.
“Antara kawasan yang terjejas termasuk Wilayah Utara (Miri dan Bintulu), Wilayah Tengah (Sibu, Selangau, Kapit, Mukah dan Sarikei), serta Wilayah Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian).
“Selain itu, beberapa loji rawatan air (WTP) seperti Selangau WTP, Ng. Sekuau WTP, dan Labang WTP turut dihentikan sementara akibat kenaikan paras air yang berlebihan di kawasan pengambilan sumber air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Julaihi, perkhidmatan telekomunikasi juga mengalami gangguan di beberapa lokasi seperti Bintulu, Marudi, Miri, Mukah, Selangau dan Serian akibat cuaca buruk.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa loji jana kuasa elektrik dan loji rawatan air lain masih beroperasi seperti biasa untuk memastikan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Agensi di bawah MUT, termasuk SEB, agensi bekalan air, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), SDEC, serta penyedia telekomunikasi lain telah menggerakkan pasukan teknikal ke kawasan yang terjejas.
“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dalam usaha pemulihan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar memahami cabaran yang dihadapi dalam situasi ini dan sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.