MIRI: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cadangan untuk menempatkan semula penduduk Kampung Lereng Bukit di sini yang terdedah kepada risiko tanah runtuh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penduduk di situ akan dipindahkan ke lokasi lebih selamat dengan perumahan dan kemudahan yang selesa.
Beliau berkata inisiatif ini selaras dengan dasar kerajaan Sarawak untuk menempatkan semula penduduk di seluruh negeri yang menghadapi ancaman terhadap nyawa dan harta benda mereka akibat banjir dan tanah runtuh.
“Salah seorang mangsa meminta supaya mereka dipindahkan sahaja. Kalau dulu ada yang mahu, ada yang tidak mahu (pindah).
“Apabila disebutkan pindah saja maknanya sudah ada kesedaran masyarakat kita untuk tinggal di tempat yang lebih selesa dan keadaan yang lebih selamat.
“Mengikut kajian, tanah yang ada di Bukit Kanada adalah bercampur dengan pasir dan kita tahu pasir adalah poros bila-bila masa dia akan mengalir dan ia akan menjadi satu bahaya kepada penduduk yang tinggal di sana.
“Jadi kita akan berbincang balik dan cadangkanlah…mungkin kita membuat penempatan semula di kawasan lain yang lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni mangsa banjir dan tanah runtuh di Pusat Pemindahan Sementara di Bulan Sabit Merah Cabang Miri di sini petang ini.
Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, baru-baru ini lima mangsa terkorban iaitu Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.
Abang Johari berkata seingat beliau sudah tiga kali kejadian tanah runtuh di Bukit Kanada itu yang mengorbankan nyawa hingga Ketua Menteri ketika itu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu memindahkan penduduk ke Kawasan Tudan.
Bagaimanapun, ada sebahagian penduduk ketika itu menolak atas alasan kawasan itu jauh dari pusat bandar raya.
Beliau berkata dengan kesediaan penduduk di kawasan Bukit Kanada itu untuk berpindah pada kali ini, kerajaan negeri akan membuat kajian untuk mengadakan penempatan semula di satu kawasan yang rata dan tidak jauh dari pusat bandar.
Abang Johari berkata penempatan baharu itu akan mencontohi apa yang ada di Skim Penempatan Semula Darul Hana di Kuching dan Kemuyang di Sibu yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang baik.
Beliau berkata penempatan semula seperti itu akan turut melibatkan Kampung Melayu di Kapit yang menghadapi masalah hakisan dan di Tatau, Bintulu yang sering dilanda banjir.
“Kita akan buat kajian dan kita minta kerjasama apabila kita sudah membuat keputusan kerana matlamat kita adalah untuk membantu mereka berpindah ke kawasan yang selamat agar tidak berulang lagi (kejadian buruk tidak diingini),” katanya.
Beliau berkata Kabinet akan berbincang mengenai perkara itu dan menyediakan peruntukan untuk pelaksanaannya.
Oleh Liong Chai Ling