SEBAUH: Banjir luar biasa yang melanda Bintulu termasuk kawasan Tubau, Jelalong, Sebauh, dan Suai membuktikan keperluan mendesak untuk perancangan strategik dalam pengurusan bencana pada masa akan datang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kejadian banjir ketika ini bukan sekadar satu insiden, tetapi satu amaran bahawa infrastruktur sedia ada perlu diperkukuh bagi menghadapi perubahan cuaca yang semakin ekstrem.
“Banjir kali ini adalah antara yang paling buruk pernah melanda Bintulu, terutamanya di kawasan bandar.
“Kita perlu mengambil iktibar dan merangka strategi yang lebih menyeluruh untuk menghadapi kemungkinan kejadian serupa di masa depan,” katanya.
Beliau berkata ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Sebauh di sini, hari ini.
Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, ia adalah penting untuk memahami faktor seperti fenomena air pasang besar, serta memastikan sistem saliran dan perparitan diberi perhatian yang lebih serius.
“Saya harap pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan semua agensi berkaitan dapat menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran, memperkukuh persediaan, serta meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa agar sistem amaran awal diperbaiki serta infrastruktur berkaitan dinaik taraf bagi mengurangkan impak bencana terhadap penduduk, khususnya di kawasan pedalaman dan pesisir.
Setakat 12.00 tengah hari tadi, seramai 116 mangsa daripada 35 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Pekan Sebauh, RPR Segawan, dan Kampung Hilir Sebauh telah dipindahkan ke PPS Balai Raya Sebauh.
Oleh Carolyne Utih