SIBU: Jumlah mangsa banjir di Bahagian Sibu telah meningkat kepada 988 orang daripada 264 Ketua Isi Rumah (KIR) di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat 5.00 pagi, hari ini.
Menurut laporan terkini dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, kenaikan jumlah mangsa paling ketara berlaku di PPS SJK (C) Tong Ah, Selangau, yang kini menempatkan 524 mangsa daripada 121 KIR, berbanding 430 mangsa (99 KIR) malam tadi.
PPS Dewan Penghulu Balang Sekau juga mencatatkan peningkatan dengan 54 mangsa (17 KIR), berbanding hanya 11 mangsa (3 KIR) sebelum ini.
Sementara itu, PPS Kompleks Sukan Kanowit kekal dengan 81 mangsa, namun bilangan keluarga meningkat sedikit kepada 27 berbanding 26 sebelumnya.
PPS SK Bukit Arip, Selangau mengalami sedikit penurunan dengan 283 mangsa, sementara PPS Dewan Serbaguna Selangau kekal dengan 39 mangsa daripada 11 KIR.
Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di Bahagian Sibu dilanda banjir.
Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan pihak berkuasa terus memantau paras air sungai dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Orang ramai dinasihatkan agar peka terhadap arahan pihak berkuasa dan segera berpindah jika diarahkan.
Oleh Tarani Lanting