KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak terus menunjukkan peningkatan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini mencecah 7,669 orang daripada 2,136 keluarga (KIR).
Sehingga 8.00 malam ini, sebanyak 52 PPS masih beroperasi di beberapa bahagian negeri ini.
Bahagian Bintulu mencatat jumlah mangsa tertinggi, dengan sembilan PPS beroperasi dan peningkatan ketara di beberapa lokasi seperti PPS Dewan Suarah (876 mangsa), PPS Pusat Sukan BDA Kidurong (279 mangsa), dan PPS Stadium Muhibah (907 mangsa).
Di Bahagian Serian, jumlah mangsa banjir kekal di kebanyakan PPS, kecuali PPS Dewan Balu Gambang Tebakang Bidayuh dan PPS Dewan SK Tebakang yang mencatat penurunan.
Sebaliknya, PPS Dewan Kuliah Rancan dan PPS Gelanggang Futsal Tertutup Serian menunjukkan peningkatan jumlah mangsa.
Sementara itu, Bahagian Samarahan, Kuching, dan Miri mencatat jumlah mangsa yang stabil, dengan beberapa PPS masih beroperasi untuk menampung mangsa yang dipindahkan.
Bahagian Sibu pula menyaksikan peningkatan di PPS Kompleks Sukan Kanowit dan PPS SJK (C) Tong Ah Selangau.
Terdapat tiga PPS baharu dibuka, iaitu PPS Naim Paragon di Bintulu, PPS Dewan Masyarakat Gedong di Samarahan, dan PPS SK Tanah Putih di Serian. Dalam masa yang sama, PPS Dewan Penghulu Seribu Nanga Tada Kanowit telah ditutup.
Selain banjir, dua PPS turut dibuka bagi mangsa tanah runtuh di Bahagian Miri, manakala satu PPS menempatkan 9 keluarga mangsa kebakaran di Bahagian Sibu.
Oleh Amanda L.