KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menasihati semua pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir supaya memastikan sumbangan yang diberikan benar-benar bermanfaat serta memenuhi keperluan mangsa.
Beliau menegaskan setiap sumbangan yang disalurkan haruslah dalam keadaan baik dan boleh digunakan oleh mangsa banjir, bukannya menjadi beban tambahan kepada mereka.
“Kita tidak mahu ada pihak yang menjadikan pusat pemindahan sebagai tempat pembuangan barangan yang tidak digunakan. Ini hanya akan menyulitkan mangsa yang sudah sedia dalam kesusahan,” katanya ketika melawat Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup, hari ini.
Nancy turut menekankan bahawa pengurusan bantuan yang sistematik amat penting bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin sepanjang tempoh mereka berada di pusat pemindahan.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menetapkan sistem dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menguruskan pusat pemindahan bagi memastikan bantuan yang diterima disusun dengan baik, diagihkan secara adil dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Dalam lawatannya, Nancy memaklumkan bahawa sebanyak 61 mangsa daripada 32 keluarga kini berlindung di PPS Kampung Segedup setelah rumah mereka dinaiki air.
Selain bantuan kewangan sebanyak RM1,000 yang disalurkan kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk membantu meringankan beban mangsa, mereka turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat seperti Petronas dan KFC.
Sumbangan yang diberikan meliputi makanan dan barangan keperluan asas lain yang diperlukan oleh mangsa sepanjang tempoh pemindahan mereka.
Nancy turut menjelaskan, salah satu cabaran utama dalam menyalurkan bantuan ialah membawa masuk bekalan ke kawasan yang lebih terjejas seperti Sibuti, yang mana banjir masih berada pada paras tinggi dan menghalang akses kenderaan darat.
Menurutnya, banyak NGO yang ingin menghulurkan bantuan menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan tersebut, manakala pasukan tentera turut berdepan cabaran dalam menghantar bantuan seperti khemah dan bekalan makanan disebabkan keadaan banjir yang masih belum surut sepenuhnya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau situasi semasa dan memastikan setiap mangsa mendapat bantuan sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.
Tambahnya, sebarang keperluan mendesak akan diberi perhatian segera, termasuk pemindahan mangsa ke lokasi lebih selamat sekiranya diperlukan.
“Kita mempunyai kenderaan tentera yang bersedia membantu pemindahan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian. Setakat ini, bekalan bantuan yang diberikan melebihi keperluan kerana adanya sumbangan daripada NGO dan syarikat korporat,” katanya lagi.
Oleh Amanda L.