LAWAS: Jalan raya Ba’Kelalan ke Lawas sejauh 142.3 kilometer (km) mengalami kerosakan teruk akibat cuaca lembab dan hujan sekali gus memberi kesan serius kepada pengguna jalan raya dan juga ekonomi setempat.
Menurut Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’Kelalan, Essem Musa, keadaan jalan raya yang diselimuti lumpur dan licin memang sangat membahayakan, terutamanya bagi pemandu yang menuju ke kawasan tanah tinggi Ba’Kelalan.
“Sekarang musim cuti perayaan dan cuti sekolah, jadi jalan raya ke Ba’Kelalan sekarang sudah rosak dan perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.
“Memang banyak aduan yang kita terima dan tindakan segera perlu diambil sebelum berlaku kejadian tidak diingini, ” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Katanya, perjalanan dari Lawas ke Ba’Kelalan sejauh 142.3 km sepatutnya mengambil masa sekitar lima hingga enam jam perjalanan.
“Berikutan cuaca lembab dan musim hujan, perjalanan mengambil masa sekitar lapan hingga 10 jam bergantung kepada tahap kerosakan jalan.
“Malahan sering kali penduduk yang menggunakan laluan ini terpaksa tidur di pinggir jalan menunggu bantuan,” katanya.
Katanya, jalan raya tersebut pernah dibina menerusi program Jiwa Murni di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi sekarang keadaan jalan itu rosak sepenuhnya.
“Pembaikan sering dilakukan oleh syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan ini, namun sekarang sukar apabila operasi pembalakan telah lama diberhentikan,” katanya.
Perjalanan ke Ba’Kelalan turut diakses melalui penerbangan udara dari Lawas atau dari Miri yang mengambil masa 36 minit penerbangan menggunakan pesawat jenis Twin Otter.
Oleh Adeng Edrus