EINDHOVEN, Belanda: Rekod 100 peratus Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah berakhir dengan kekalahan 3-2 di tangan PSV Eindhoven tetapi skuad kendalian Arne Slot masih menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas.
Dengan majoriti tonggak utamanya direhatkan, Liverpool yang memburu kemenangan kelapan daripada lapan perlawanan, dua kali mendahului permainan – menerusi penalti Cody Gakpo ke atas bekas kelabnya dan jaringan Harvey Elliott.
Johan Bakayoko menyamakan kedudukan untuk PSV dan jaringan Ismael Saibari serta Ricardo Pepi melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan kesemua gol terhasil di babak pertama.
Liverpool mengakhiri permainan dengan hanya 10 pemain apabila pemain gantian, Amara Nallo dilayangkan kad merah pada minit ke-87.
Anak buah Slot menjuarai kumpulan dengan 21 mata, dua di depan Barcelona yang hanya seri pada perlawanan terakhir mereka.
PSV akan bersaing di pusingan play-off selepas menamatkan peringkat liga di tempat ke-14.