MIRI: Empat yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sini hari ini, adalah sekeluarga.
Tragedi itu berlaku apabila tanah runtuh meranapkan dua rumah di Kampung Lereng Bukit, awal pagi tadi selepas seorang lagi mangsa ditemukan sekitar jam 11.48 pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu menyebabkan tujuh sekeluarga iaitu penghuni rumah di Lot 287A tertimbus, manakala lima penghuni di Lot 287B berjaya menyelamatkan diri.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.58 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Kami menerima laporan bahawa tujuh mangsa dipercayai tertimbus. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan bantuan pasukan khas serta agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang remaja perempuan yang mengalami kecederaan parah berjaya dikeluarkan pada jam 4.46 pagi, diikuti seorang wanita dewasa pada jam 5 pagi.
Seorang lelaki yang ditemukan pada jam 6 pagi serta seorang perempuan dewasa pada jam 10.53 pagi, kedua-dua mangsa disahkan maut oleh pegawai KKM di lomasi kejadian.
Dua lagi kanak-kanak perempuan turut ditemukan meninggal dunia masing-masing pada jam 11.38 pagi dan 11.48 pagi.
Seorang lagi mangsa, seorang perempuan dewasa, dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan, usaha mencari masih giat dijalankan.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimanshah, mengesahkan bahawa kesemua mangsa berada di rumah Lot 287A merupakan satu keluarga.
Setakat ini, hanya dua orang daripada tujuh jumlah isi rumah ditemui selamat, empat disahkan maut manakala seorang lagi dipercayai masih tertimbus.