KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ditekan sentimen risiko global yang suram dan perkembangan berterusan mengenai tarif AS, kata Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.3905/3980 berbanding dolar AS, lebih rendah berbanding penutup pada Isnin iaitu 4.3760/3825.
Innes berkata, laporan mendedahkan cadangan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengenai tarif berperingkat bermula pada kadar 2.5 peratus, meresahkan pasaran.
“Pendekatan berperingkat ini mengurangkan lonjakan dolar secara mendadak dan memberi ruang kepada ekonomi untuk menyesuaikan,” katanya kepada Bernama.
Walaupun Malaysia tidak menjadi sasaran secara langsung, pergantungan ekonominya terhadap China menimbulkan risiko.
“Pedagang sedang menilai sejauh mana rancangan tarif itu telah diambil kira dan sama ada pengukuhan dolar akan berterusan,” tambahnya.
Pada penutup, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.8242/8292 berbanding 2.8313/8357 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5819/5898 daripada 4.5900/5968 pada Isnin.
Bagaimanapun, ia sedikit lemah berbanding pound kepada 5.4653/4746 daripada 5.4643/4724 sebelumnya.
Ringgit turut mencatatkan prestasi bercampur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2481/2542 daripada 3.2518/2569 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9437/9727 daripada 12.9840/13.0110.
Sebaliknya, ia lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 271.5/272.0 daripada 270.6/271.0 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.53 daripada 7.48/7.50. – BERNAMA