![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9209-1024x768.jpeg)
KUMPUL MAKLUMAT...pegawai polis dari IPD Lawas memantau perkembangan operasi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden kapal karam di Laut Awat-Awat Sundar, Lawas.
LAWAS: Juragan kapal kargo karam di sini, yang masih hilang disahkan sebagai warganegara Indonesia.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata Zauyik Anang Fatmanto, 42 tahun, adalah juragan kapal SALIM 6, yang karam di perairan Lawas awal pagi tadi.
Katanya, enam kru berjaya menyelamatkan diri menggunakan ‘lifecraft’ atau rakit penyelamat ke Kampung Awat-Awat.
“Pihak polis telah menerima laporan daripada pemilik syarikat kapal SALIM 6 yang memaklumkan insiden kapal senget di perairan Lawas awal pagi tadi.
“Lima orang kru kapal yang selamat merupakan warganegara Indonesia dan seorang lagi kru adalah warganegara Malaysia.
“Mangsa yang selamat telah dibawa ke APMM Labuan dan seterusnya akan dibawa ke IPD Lawas untuk siasatan pihak polis Lawas,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Terdahulu sebuah kapal kargo yang membawa muatan batu kerikil itu dalam perjalanan dari Sipitang menuju ke Brunei telah karam pada kedudukan 2.2 batu nautika di Laut Awat-Awat Sundar, Lawas.
Liong berkata selepas menerima laporan itu, pencarian segera dilakukan tetapi masih gagal mengesan juragan yang hilang sebelum operasi ditangguhkan petang tadi berikutan cuaca buruk.
Katanya, operasi pencarian akan diteruskan esok di kawasan kejadian melibatkan jabatan dan agensi penyelamat dari Labuan, Limbang dan Lawas.
IPD Lawas membuka pusat operasi penyelarasan SAR di Jeti Awat-Awat Lawas.
Liong berharap tidak ada pihak yang mensensasikan kejadian ini sehingga lari daripada fakta sebenar.
Sebaliknya beliau menasihatkan agar masyarakat mendapat dan berkongsi maklumat yang sahih.
Oleh ADENG EDRUS