![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9169-1024x768.jpeg)
Roland Sagah menyampaikan geran kementeriannya kepada penerima di Kuching hari ini.
KUCHING: Hanya Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membuat keputusan untuk memasukkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam sukatan mata pelajaran Sejarah untuk sekolah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah berkata sebarang usaha penambahan untuk kurikulum sekolah ditentukan oleh Putrajaya melalui KPM.
“Perkara MA63 untuk (dimasukkan) dalam kurikulum, perlu dipertimbangkan pada peringkat seterusnya. Ia bukan sesuatu yang boleh dimasukkan begitu sahaja dalam pelan pendidikan dan terus dilaksanakan.
“Kita juga memerlukan pakar untuk menulis bahan rujukan berkaitan supaya pelajar boleh mempelajarinya,” katanya ketika ditemui selepas majlis simbolik penyerahan surat kelulusan geran kementeriannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas isu itu, yang dijadikan salah satu daripada 14 usul yang dibentang dan diluluskan pada mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong baru-baru ini.
Usul itu antara lain mencadangkan supaya penubuhan negara Malaysia berasaskan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, MA63 dan Perlembagaan Malaysia dijadikan silibus yang wajib diambil dan lulus di semua peringkat sekolah, universiti tempatan dan universiti antarabangsa yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia.
Roland Sagah bagaimanapun berkata beliau optimis dengan hala tuju baharu yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menunjukkan sistem pendidikan negara berada di landasan betul.
Katanya, bagi meningkatkan kefahaman mengenai MA63, kerajaan Sarawak mengadakan kerjasama dengan Universiti Swinburne dalam memperkenalkan program ijazah undang-undang.
Sebelum ini, Sarawak sudah mendapat kebenaran untuk memulakan subjek elektif berkaitan MA63 untuk kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata ia diadakan melalui cawangan Universiti Malaya (UM) di Sarawak.
Swinburne juga menawarkan kursus undang-undang dengan pilihan subjek elektif, termasuk undang-undang NCR (Tanah Hak Adat Bumiputera), undang-undang adat kita, serta MA63.
Melalui program itu, kata Roland Sagah, pihaknya boleh meminta supaya bahan-bahan khusus tentang undang-undang, perjanjian itu sendiri, dan aspek berkaitan MA63 dimasukkan dalam pengajian akademik.
“Ini akan membolehkan pelajar mengkaji perkara ini secara mendalam,” jelasnya.
Oleh Amanda L.