BRUSSELS: Unit pembotolan Eropah Coca-Cola mengarahkan penarikan semula Coke, Sprite dan minuman lain secara besar-besaran semalam, selepas mengesan tahap klorat yang tinggi, yang menimbulkan potensi risiko kesihatan.
Coca-Cola Europacific Partners Belgium berkata, tin dan botol kaca yang mengandungi tahap bahan yang tinggi sudah diedarkan di Belgium, Belanda, Britain, Jerman, Perancis dan Luxembourg sejak November lalu.
“Kami tidak mempunyai angka yang tepat, tetapi jelas bahawa ia adalah kuantiti yang besar.
“Majoriti produk yang terjejas dan tidak terjual sudah pun dialih keluar dari rak kedai dan kami terus mengambil langkah untuk mengeluarkan semua produk yang masih ada di pasaran,” menurut firma itu.
Klorat boleh didapati dalam makanan kerana ia berasal daripada disinfektan klorin yang digunakan secara meluas dalam rawatan air dan pemprosesan makanan.
Dalam satu pendapat saintifik 2015, Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah berkata, pendedahan jangka panjang kepada klorat menimbulkan kebimbangan kesihatan yang berpotensi untuk kanak-kanak, terutamanya mereka yang mengalami kekurangan iodin ringan atau sederhana.
Sementara itu, cawangan Perancis syarikat itu menyatakan bahawa analisis oleh pakar bebas membuat kesimpulan bahawa kebarangkalian risiko yang berkaitan adalah sangat rendah.
“Kami belum menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai isu ini.
“Kumpulan Coke dan Fuze Tea yang terjejas sudah dihantar di Perancis tetapi buat masa ini perintah penarikan balik tidak terpakai kepada pasaran Perancis,” katanya.
Susulan itu, Coca-Cola Europacific Partners memohon maaf atas penarikan semula itu, yang disedari melalui pemeriksaan rutin di tapak pengeluarannya di Ghent.
Menurut firma itu, produk yang terjejas mempunyai kod pengeluaran antara 328 GE hingga 338 GE, termasuk jenama Minute Maid, Nalu, Royal Bliss dan Tropico.
“Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkenaan di setiap pasaran yang terjejas,” kata firma itu. – AFP.