![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9134-1.jpeg)
KUCHING: Masyarakat Bumiputera dan Cina perlu memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, keusahawanan, dan sektor-sektor lain untuk memastikan pembangunan negeri Sarawak yang lebih inklusif dan progresif.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama erat antara kedua-dua komuniti ini adalah penting bagi memanfaatkan pengalaman, kemahiran, dan sumber daya yang dimiliki masing-masing.
“Melalui kerjasama ini, peluang untuk pertukaran pengetahuan dan kemahiran akan dapat meningkatkan potensi dan daya saing masyarakat Bumiputera.
“Perkara ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan bersama yang lebih inklusif dan progresif serta mengeratkan lagi tali perhubungan dengan masyarakat Cina,” katanya dalam satu perutusan khas Tahun Baru Cina 2025, hari ini.
Dalam perutusan khas tersebut, Wan Junaidi serta isteri, Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2025 kepada seluruh masyarakat Cina, khususnya di Sarawak, serta di seluruh negara.
Beliau berharap agar perayaan ini disambut dengan kegembiraan, kekeluargaan, dan semangat kebersamaan.
“Pada 29 Januari, seluruh masyarakat Cina di seluruh negara akan bersama-sama menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga yang tersayang serta rakan taulan.
“Sambutan ini bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu tetapi juga merupakan peluang bagi kita untuk mengeratkan tali persaudaraan, memperkukuh nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kasih sayang, dan perpaduan.
“Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan baharu yang sarat dengan harapan dan peluang. Tahun Ular Kayu, secara simbolik, membawa makna mendalam tentang kebijaksanaan, fleksibiliti, dan ketahanan.
“Elemen Kayu menambah dimensi positif, melambangkan
pertumbuhan, kreativiti, dan kestabilan. Gabungan ini memberi inspirasi kepada kita untuk terus berinovasi, bertindak bijak, serta mengekalkan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut memberi penghargaan kepada masyarakat Cina yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan negeri Sarawak, terutamanya dalam sektor ekonomi, politik, pendidikan, dan sosial.
Beliau menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, masyarakat Cina terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Ekonomi Sarawak terus berkembang pesat dengan pelaburan besar dalam infrastruktur, teknologi, ekonomi digital, dan ekonomi hijau. Sokongan yang diberikan oleh masyarakat Cina turut menyumbang kepada kejayaan tersebut,” katanya.
Dalam aspek pendidikan, beliau menggesa anak-anak Sarawak, baik yang berketurunan Cina atau Bumiputera, untuk berganding bahu dalam menguasai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) bagi memastikan Sarawak terus berada di hadapan dalam kemajuan teknologi.
Selain itu, beliau juga menyentuh tentang komitmen kerajaan negeri dalam mempertingkatkan akses pendidikan dengan memperkenalkan inisiatif pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan pada 2026.
Beliau berharap agar langkah ini diharap dapat melahirkan graduan yang berdaya saing dan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan dan masyarakat dalam menangani isu-isu kesihatan awam dan ekonomi, termasuk peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Usaha berterusan dari pihak kerajaan dalam mengawal kos sara hidup dan menyediakan bantuan melalui program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) adalah amat penting dalam meringankan beban rakyat,” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi menyeru semua rakyat Sarawak agar terus mengutamakan keselamatan semasa perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan.
Beliau berharap agar Tahun Baru Cina ini memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kualiti hidup di Sarawak.
“Semoga tahun ini membawa keberkatan, rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik, dan kejayaan yang berterusan.
“Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan semangat yang baharu, demi membina masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak dan seluruh rakyatnya. Gong Xi Fa Cai dan terima kasih,” katanya.