KUALA LUMPUR: Tidak mahu menghampakan peminat, penyanyi bersuara emas Ernie Zakri tetap meneruskan konsert sulungnya Aura: Ernie Zakri Live in Concert di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam Sabtu, meskipun telah seminggu menghidap laringitis.
Ernie, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, mendedahkan perkara itu semasa konsert tersebut sambil meminta maaf kepada peminat kerana terpaksa mengehadkan interaksi untuk menjaga suara.
Di sebalik keadaannya, Ernie tetap berjaya memukau kira-kira 3,000 penonton yang datang sepanjang persembahan selama dua jam.
“Doktor sudah memeriksa keadaan saya dan suntikan terakhir diberikan pada 6 petang sebelum konsert. Ini sahaja yang saya mampu berikan, saya harap peminat berpuas hati.
“Saya amat ingin bercakap dengan peminat kerana saya gemar berinteraksi dengan mereka. Namun, laringitis ini menghalang saya. Saya tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk meneruskan konsert ini. Saya hanya berserah, reda dan berdoa agar semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” katanya pada sidang media selepas konsert.
TIDAK SANGGUP KECEWAKAN PEMINAT
Ernie berkata beliau tidak sanggup mengecewakan peminat, terutama apabila mengetahui ada yang datang dari jauh semata-mata untuk menyaksikan persembahannya.
Beliau juga mengakui situasi itu antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya seninya, namun beliau bersyukur dengan kehadiran suaminya Syamel yang juga seorang penyanyi, menjadi sumber kekuatan utamanya.
“Saya tidak boleh melalui detik sukar ini tanpa Syamel. Dia faham keadaan saya sebagai seorang penyanyi dan sentiasa ada untuk menyokong saya, terutama ketika saya berasa sangat lemah secara mental,” katanya yang menyampaikan 22 lagu pada malam itu.
Sufi Rashid, penganjur konsert dari Sah Entertainment, melahirkan rasa puas hati terhadap persembahan Ernie dan memuji kerjasama beliau yang mudah.
“Ernie seorang artis yang tidak banyak permintaan dan sangat profesional. Walaupun beliau sakit, kami sepenuhnya menyerahkan keputusan kepadanya. Sepatutnya ada sesi sembang bersama peminat, tetapi kami menghormati keadaannya. Saya doakan beliau kembali pulih sepenuhnya menjelang Anugerah Juara Lagu,” katanya.
KEHADIRAN ARTIS JEMPUTAN
Konsert itu turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan dari Indonesia Ade Govinda, yang tampil ketika Ernie menyampaikan lagu hit mereka iaitu Hal Hebat dan Masing-masing.
Suasana dewan semakin meriah apabila Sabronzo daripada kumpulan DOLLA membuat kejutan dengan mendendangkan lagu LUV bersama Ernie.
Kemuncak persembahan tercipta apabila Syamel muncul berduet dengan isterinya, menyampaikan lagu Die With A Smile nyanyian asal Bruno Mars dan Lady Gaga, serta lagu Aku Cinta.
Diiringi susunan muzik oleh pengarah muzik Genervie Kam, persembahan Ernie malam itu membawa penonton menyelami perjalanan emosi mendalam, menjadikan setiap lagu seperti Aura, Boneka, Gundah, Astana dan Ku Bersuara meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang hadir. – Bernama