GAZA: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kumpulan Hamas menegaskan pendirian mereka untuk menentang sebarang cadangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa dari Gaza.
Bantahan itu dibuat susulan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk ‘membersihkan’ wilayah yang musnah akibat perang.
Pejabat Presiden Palestin menyatakan Abbas dengan tegas mengecam sebarang projek yang bertujuan memindahkan rakyat Palestin di Gaza.
Anggota Biro Politik Hamas, Bassem Naim, berkata rakyat Palestin akan menggagalkan projek sedemikian, seperti mana mereka menggagalkan rancangan serupa untuk pemindahan dan penciptaan tanah air alternatif sejak beberapa dekad lalu.
Jihad Islam, yang turut bertempur bersama Hamas di Gaza, menyifatkan idea tersebut sebagai menjijikkan.
Bagi rakyat Palestin, sebarang usaha pemindahan dari Gaza akan mengingatkan tragedi hitam yang dikenali dalam dunia Arab sebagai ‘Nakba’ atau malapetaka. Ia membabitkan perpindahan besar-besaran rakyat Palestin ketika pembentukan Israel pada 1948.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang sebelum ini menentang perjanjian gencatan senjata dan menyokong penubuhan semula penempatan Israel di Gaza menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea yang hebat.
Liga Arab turut menolak idea berkenaan dan memberi amaran terhadap cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
“Pemindahan dan pengusiran rakyat dari tanah mereka secara paksa hanya boleh dianggap sebagai pembersihan etnik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, menegaskan penolakan terhadap pemindahan rakyat Palestin adalah tegas dan tidak akan berubah. Tegas beliau, Jordan untuk rakyat Jordan dan Palestin untuk rakyat Palestin.
Kementerian Luar Mesir turut menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang pencabulan hak asasi rakyat Palestin.
Presiden AS mengesyorkan penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke Jordan atau Mesir ketika bercakap dengan wartawan dalam pesawat Air Force One Sabtu lalu, yang disifatkannya mungkin menjadi sesuatu yang ‘sementara atau kekal’.
Hampir kesemua 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah randah akibat perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023, malah ramai antara mereka terpaksa berpindah beberapa kali.
Di Gaza, kenderaan dan gerabak sarat dengan barangan keperluan memenuhi jalan berhampiran Koridor Netzarim yang terus menjadi laluan penting bagi penduduk untuk melarikan diri.
Dalam tempoh fasa pertama gencatan senjata Gaza, seramai 33 tebusan dijangka dibebaskan secara berperingkat selama enam minggu sebagai pertukaran bagi kira-kira 1,900 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Gencatan senjata membolehkan kemasukan bekalan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan bantuan lain ke Gaza yang dipenuhi runtuhan, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa ‘krisis kemanusiaan kekal kritikal’.
Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, sebanyak 87 orang masih berada di Gaza, termasuk 34 yang disahkan maut oleh pihak tentera.
Serangan Hamas pada 2023 mengakibatkan kematian 1,210 orang, kebanyakannya orang awam, menurut laporan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan balas Israel pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 47,306 orang di Gaza, majoritinya adalah orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas, yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB. – AFP