![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9086-1-1024x1278.jpeg)
Dato Sim Kiang Chiok
KUCHING: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok yakin 2025 akan menjadi tahun yang cerah bagi ekonomi dan pembangunan hartanah di Sarawak.
Katanya, strategi kerajaan negeri serta tumpuan kepada pembangunan mampan akan memastikan Sarawak terus maju, meskipun cabaran ekonomi global dijangka berterusan.
Beliau berkata meskipun dunia masih menghadapi ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik Rusia-Ukraine, dan kemungkinan peningkatan tarif import oleh Amerika Syarikat, Sarawak mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berkembang.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID 19 2030 (PCDS 2030), kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, projek tenaga boleh diperbaharui, dan transformasi digital.
“Dengan pengembalian hak autonomi seperti hak pengagihan gas, Sarawak kini mempunyai pendapatan tambahan untuk melaksanakan projek mega seperti pelabuhan laut dalam baharu dan lapangan terbang moden.
“Selain itu, Sarawak berjaya mengukuhkan ekonominya melalui kepelbagaian sektor seperti pertanian, tenaga, pembuatan, dan pelancongan. Industri minyak sawit, kayu balak, serta tenaga boleh diperbaharui dijangka terus menyumbang kepada pendapatan negeri.
“Komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan, termasuk projek pemerapan karbon dan tenaga hijau, menjadikan negeri ini sebagai peneraju dalam pembangunan berasaskan kelestarian,” katanya dalam kenyataan media.
Sim berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa memberi peluang besar kepada Sarawak untuk mempromosikan pelancongan budaya dan ekopelancongan.
“Sektor pelancongan Sarawak dijangka pulih dan berkembang pesat dengan pengambilalihan MASwings.
“Bukan itu sahaja, usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperluaskan ekonomi digital melalui Strategi Ekonomi Digital Sarawak akan membuka peluang baharu dalam sektor e-dagang, teknologi kewangan, dan infrastruktur digital,” katanya.
Dalam pada itu, Sim turut optimis bahawa sektor hartanah di Sarawak pada 2025 akan berkembang pesat dengan peningkatan permintaan terhadap hartanah kediaman, komersial, dan perindustrian.
“Dengan populasi yang semakin meningkat, permintaan terhadap rumah mampu milik dan rumah sederhana dijangka terus meningkat.
“Skim perumahan kerajaan dan insentif untuk pembeli rumah kali pertama akan menyokong sektor ini, terutamanya di kawasan bandar seperti Kuching, Miri, Sibu, dan Bintulu.
“Selain itu, pertumbuhan ekonomi digital dan sektor pelancongan Sarawak akan meningkatkan permintaan terhadap ruang peruncitan dan pejabat.
“Lokasi strategik berhampiran hab pengangkutan dan destinasi pelancongan dijangka menarik pelabur dan penyewa,” katanya.
Selain itu, Sim turut menjelaskan bahawa pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan akan mengukuhkan pasaran hartanah perindustrian di Sarawak.
“Pembangunan taman perindustrian dan hab logistik, terutamanya dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), akan meningkatkan permintaan terhadap gudang, kilang, dan kemudahan perindustrian lain.
“Projek pembangunan pelbagai guna yang menggabungkan ruang kediaman, peruncitan, dan komersial terus menarik perhatian pelabur dan pengguna.
“Bukan itu sahaja, pemaju di Sarawak dijangka memberi tumpuan kepada projek hijau dan mampan, selaras dengan kehendak pasaran dan keperluan peraturan.
“Walaupun landskap ekonomi global masih tidak menentu, inisiatif strategik Sarawak, ekonomi yang pelbagai, dan asas pasaran hartanah yang kukuh meletakkan negeri ini di landasan untuk pertumbuhan mampan pada 2025,” katanya.
Pada masa sama, Sim berkata, simbolik tahun ular yang melambangkan transformasi dan daya tahan seiring dengan pendekatan Sarawak untuk mengharungi cabaran global.
“Kita perlu terus bekerjasama demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.