KUCHING: Restoran di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, terdapat beberapa restoran di bawah MBKS pada masa ini masih degil mematuhi SOP berkenaan.
“Buat masa ini, kami akan memberikan peringatan tetapi itu tidak bermaksud MBKS tidak akan mengeluarkan kompaun atau tidak mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil penghargaan kepada penderma dan penaja darah di Pusat Derma Darah Alternatif Bank Darah Hospital Umum Sarawak (SGH) di Dewan Masyarakat MBKS, di sini semalam.
Beliau menambah, ada sebab mengapa MBKS tidak mengambil tindakan tegas pada masa sekarang.
“Saya percaya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ada banyak perniagaan yang mengalami kerugian, dan itulah sebabnya kita tidak mengenakan kompaun dan saya mahu semua orang bekerjasama,” ujarnya.
Jelasnya, sekiranya bistro ini dikenakan kompaun RM1,000 sudah tentu mereka tidak mahu membayar dengan memberi alasan keadaan ekonomi meleset ketika ini.
“Saya berharap pengusaha perniagaan tidak lagi memberi alasan demikian.
“Apabila kita harus melakukannya (mengeluarkan kompaun), kita akan melakukannya. Sekiranya MBKS terus memberi amaran kepada anda, namun anda tidak menerimanya, MBKS memohon maaf dan tetap patuh kepada undang-undang,” tegasnya.
Oleh Nur Ain Otsman