PETRA JAYA: Tiga jawatan utama dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung parti itu bulan depan.
Ini termasuk jawatan Presiden parti yang disandang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (bagi sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mewakili sayap Bumiputera).
Dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang jawatan itu tanpa bertanding.
Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua 82 cawangan PBB sebulat suara mengekalkan pemegang jawatan utama itu tanpa bertanding.
Bagaimanapun katanya, pihak sekretariat akan mengeluarkan borang penamaan calon bagi tujuh jawatan Naib Presiden PBB dan 30 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan dikeluarkan beberapa hari lagi.
“Jika borang penamaan calon dikeluarkan dalam dua hingga tiga hari ini, tempoh tersebut boleh ditutup selewat-lewatnya seminggu sebelum Perhimpunan Agung PBB berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Perhimpunan Agung PBB dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 16 Februari ini.
Dengan keputusan itu, bermakna jawatan Naib Presiden PBB terbuka untuk pertandingan.
Kini, jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera disandang Dato Sri Julaihi Narawi; Datuk Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Naib Presiden parti bagi sayap Pesaka pula ialah Datuk Gerawat Gala, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Turut dijangka menjadi rebutan ialah 16 kerusi MKT PBB bagi sayap Bumiputera dan 14 jawatan MKT yang diperuntukkan untuk sayap Pesaka. Pada perhimpunan agung parti tiga tahun lalu, tiada pertandingan untuk 14 jawatan MKT sayap Pesaka tetapi saingan sengit berlaku untuk 16 jawatan MKT sayap Bumiputera.
Sementara itu, Nanta berkata perhimpunan kali ini akan menghimpunkan 3,213 perwakilan dan pemerhati yang terdiri daripada Badan Induk, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Belia.
“Seramai 3,213 wakil PBB, terdiri daripada perwakilan dan pemerhati, akan dijemput untuk menghadiri perhimpunan.
“Perhimpunan agung pada kali ini akan dirasmikan sendiri oleh Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Buat julung-julung kalinya juga perhimpunan agung kali ini akan dihadiri sayap belia parti untuk mereka yang berumur di antara 18 hingga 28 tahun,” katanya.