KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan penglibatan 100 pemimpin wanita dalam Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) pada tahun ini, sebagai langkah memperkukuh kedudukan golongan itu dalam pelbagai sektor.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata sasaran tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memperkasa wanita, khususnya dalam ekonomi jingga yang merangkumi bidang seni, budaya, muzik, teknologi dan keusahawanan.
Katanya, usaha itu bertujuan menangani jurang jantina dalam kepimpinan ekonomi dan politik di Malaysia, yang mana penglibatan wanita masih rendah walaupun mereka cemerlang dalam bidang pendidikan.
“Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai wanita yang bukan sahaja mampu memimpin tetapi juga mencipta impak positif kepada komuniti masing-masing.
“Setiap pemimpin wanita yang terpilih akan menerima peruntukan sehingga RM50,000 untuk melaksanakan program mereka, dan secara keseluruhannya, kami menyasarkan untuk menjangkau 5,000 peserta wanita di seluruh negara pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kepimpinan Wanita Dalam Ekonomi Jingga(WIOE) di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan program PERANTIS, yang diperkenalkan pada 2024 dengan peruntukan awal RM5 juta, telah berjaya memanfaatkan 1,247 peserta melalui 25 inisiatif di pelbagai negeri.
Katanya, program tersebut turut melibatkan proses pemilihan ketat yang dikendalikan oleh panel pakar untuk memastikan kualiti dan keberkesanan setiap inisiatif.
Tambah beliau, ekonomi jingga merupakan ruang yang besar untuk wanita berinovasi dan mencipta perubahan.
“Sektor ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tetapi juga membuka peluang kerjasama dan inovasi di kalangan wanita. WIOE menjadi contoh terbaik bagaimana wanita boleh mengembangkan potensi mereka dalam ekonomi kreatif,” jelasnya.
Nancy turut memuji usaha individu seperti Sharnaz Saberi, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Prodigy Music Centre & Orchestra, yang telah memainkan peranan penting dalam memperkasa wanita dalam bidang seni muzik.
Program WIOE yang berlangsung semalam turut diserikan dengan pameran dan persembahan seni, selain sesi perkongsian daripada pakar dalam bidang fesyen, muzik, dan keusahawanan.
Usaha ini, menurut Nancy, membuktikan bahawa wanita mampu menjadi peneraju dalam sektor kreatif sambil menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Kami percaya bahawa kejayaan ini bukan sahaja akan meningkatkan keterlihatan wanita dalam ekonomi, tetapi juga membantu membentuk masa depan yang lebih progresif dan inklusif untuk negara,” katanya mengakhiri ucapan.
Oleh Shahrul Qaizat