SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie mengajak rakyat di kawasannya bersama-sama beliau untuk membangunkan konstituensi terbabit.
Selepas diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, beliau mahu rakyat di kawasan itu bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dengan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membangunkan Sarawak amnya dan Sri Aman khususnya.
“Pemimpin GPS tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih melaksanakan rancangan pembangunan walaupun kawasan yang dibangunkan terletak jauh di pedalaman.
“Sikap pilih kasih dan hanya memberikan pembangunan di sesuatu kawasan tertentu bukanlah cara saya. Setiap kampung, rumah panjang atau sesuatu kawasan di Parlimen Sri Aman amnya, layak menerima projek pembangunan tanpa mengira sokongan politik mereka.
“Sebagai seorang ahli parlimen, saya akan terus menjadi jambatan, mulut, telinga dan mata seluruh rakyat di Sri Aman ketika berucap di parlimen semasa mesyuarat dan membantu anda semampu saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ahli Parlimen Bersama Komuniti Menalang Asal (A) Undop di sini hari ini. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun.
Doris berkata sebagai rakyat Sarawak, kita tidak boleh menjauhkan diri daripada kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Opng yang telah berjaya meningkatkan ekonomi rakyat dan juga membangunkan negeri ini dalam tempoh lapan tahun.
“Tiada negeri-negeri lain di negara ini dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam tempoh singkat seperti di Sarawak ini. Lebih-lebih lagi, kerajaan Sarawak masih berjuang untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak yang telah hilang.
“Jika kita sebagai rakyat Sarawak tidak bersatu antara satu sama lain dan tidak bekerjasama dengan kerajaan GPS untuk memperjuangkan semua perkara ini, kita di Sarawak akan kehilangan banyak hak dan kuasa yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Doris berharap rakyat di negeri ini dan Sri Aman khususnya bersama-sama menyokong antara satu sama lain serta bersatu dalam menyokong segala pembangunan yang dirancang oleh kerajaan GPS agar bukan sahaja Sri Aman yang dapat membangun malah Sarawak juga maju makmur, terkenal dan gemilang.
Pada majlis tersebut, Doris turut menyumbangkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM6,300 untuk JKKK Kampung Menalang Asal (A) Undop dan RM3,000 untuk Biro Wanita Kampung Menalang Asal (A) Undop.
Oleh Adi Saparman