BETONG: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong yang melibatkan 14 cawangan di sini hari ini, membentangkan 14 usul yang dipersetujui sebuat suara oleh lebih 1,400 perwakilan.
Resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Julaihi Narawi itu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Premier Sarawak yang juga Presiden parti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan mengekalkan beliau sebagai Presiden PBB tanpa dipertandingkan.
Usul itu juga mencadangkan agar kedua-dua Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan, dan kedua-dua Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Fadillah Yusuf dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
“Ketiga, kami memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan PBB dan Gabungan Parti Sarawka (GPS) untuk memimpin Sarawak dalam memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963), Laporan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.
“Keempat, kami menyokong langkah strategik PBB dan GPS menuntut penghormatan dan pengiktirafan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam negara Malaysia.
“Kelima, kami mencadangkan supaya penubuhan negara Malaysia berasaskan Laporan IGC 1962, MA63 dan Perlembagaan Malaysia dijadikan silibus yang wajib diambil dan lulus di semua peringkat sekolah, universiti tempatan dan universiti antarabangsa yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia.
“Ini penting untuk pengetahuan dan pemahaman semua lapisan rakyat Malaysia supaya tidak berlaku salah persepsi tentang status dan hak Sarawak dalam Malaysia.
“Keenam, kami sekali lagi mengusulkan supaya bilangan kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak dan Sabah ditambah kepada sekurang-kurangnya 35 peratus dari keseluruhan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.
“Ini bertujuan untuk memastikan mana-mana keputusan penting di Parlimen termasuk pindaan perlembagaan mengambil kira suara rakyat Sarawak dan Sabah,” katanya.
Bagi resolusi ketujuh, Julaihi berkata PBB bertekad untuk terus memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan kerajaan Sarawak.
“Kelapan, kami terus mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin menggangu-gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul.
“Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persepakatan dan persetujuan PBB dan parti komponen yang lain dalam GPS.
“Kesembilan, menyokong usaha dan tindakan kerajaan Sarawak memastikan Petros diiktiraf sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak berdasarkan Ordinan Pengagihan Gas 2016. Sehubungan dengan ini kami amat mengalu-alukan pengumuman dan deklarasi Perdana Menteri Malaysia yang mengiktiraf Petros sebagai Gas Aggregator Tunggal dI Sarawak baru-baru ini.
“Sebagai gas aggregator tunggal Sarawak melalui Petros boleh
melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) seperti yang dirancangkan dan seterusnya mempelbagaikan industri hiliran berasaskan gas, menambah peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan Sarawak dan rakyatnya,” katanya.
Julaihi menambah, ia turut mencadang penubuhan jurusan atau fakulti baharu di universiti milik Sarawak dan juga institusi latihan baharu yang berteraskan pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas, aero angkasa dan
teknologi satelit di Sarawak.
“Pada masa sama, Sarawak boleh menghantar pelajar atau pegawai bagi mengikuti latihan kepakaran di negara pelopor dalam teknologi tersebut bagi melahirkan pekerja mahir. Ini sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab kepada sektor peralihan tenaga
dan tenaga boleh diperbaharui industri minyak dan gas dan industri aero angkasa dan teknologi satelit di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Mengenai usul ke-11, Julaihi mengusulkan supaya PBB dan kerajaan GPS Sarawak terus mengganda dan mengutamakan agenda dan pelaksanaan pembangunan di
kawasan luar bandar.
“Ini melibatkan usaha menaik taraf sistem bekalan air, sistem bekalan elektrik, rangkaian kemudahan gas dan kemudahan telekomunikasi serta liputan internet di seluruh Sarawak. Di Zon Betong, kami memerlukan infra bekalan elektrik dinaik taraf supaya bekalan elektrik di Zon Betong menjadi lebih stabil.
“Usul ke-12 adalah mentransformasikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Sarawak dengan membina lebih banyak infrastruktur pertanian serta mengaplikasikan teknologi terkini dan sistem pemasaran yang lebih sistematik.
“Usul ke-13 iaitu mempercepat dan menggandakan usaha membina semula dan membaik pulih sekolah daif di seluruh Sarawak. Tindakan segera dan serius pihak Kementerian Pendidikan adalah dituntut.
“Dan usul terakhir iaitu mengusulkan supaya pembinaan rangkaian gentian optik di kawasan Sebuyau,
Lingga, Beting Maro, Saribas, Bukit Saban, Layar, Kalaka, Kabong dan Saratok dan lain-lain tempat di Zon Betong dilaksanakan untuk meningkatkan jaringan dan liputan kemudahan telekomunikasi termasuk kemudahan internet,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN