SIBU: Sebanyak 12 jenis barangan telah ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2025 bagi Bahagian Sibu.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Cawangan Sibu, Kelyn Bolhassan @ Haliward berkata, pelaksanaan skim ini bermula pada 25 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025 iaitu selama sembilan hari.
“Senarai barangan harga terkawal bagi SHMMP Tahun Baru Cina 2025 ialah ikan bawal putih, udang putih besar, bawang putih (China), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).
“Lobak merah, lobak putih import, ubi kentang import (China), halia tua (import), kepak
ayam, babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak),” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.
Tegasnya, adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal :
(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Katanya, peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.
“Disamping itu, di ingatkan agar pengeluar, pemborong dan peruncit tidak menaikan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini.
“Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” kata beliau.
Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Website : e-aduan.kpdn.gov.my, Emel ke alamat e-aduan@kpdn.gov.my, Lapor/hadir ke Pejabat KPDN Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3, 96000 Sibu, Sarawak, Hubungi nombor telefon Pejabat KPDN Cawangan Sibu di talian 084-335622, dan WhatsApp ke 019- 279 4317.
Oleh Akun Giman