LIMBANG: Jaringan perhubungan jalan raya utara Sarawak akan mula dilaksana tahun ini meliputi Bahagian Miri hingga ke Bahagian Limbang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain Lebuh Raya Pesisir Utara , Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) juga diteruskan pembinaannya tahun ini bersama pembinaan kemudahan asas lainnya.
“Projek bekalan elektrik di Limbang dan Lawas yang akan disambung kepada sistem grid negeri akan turut dilaksana sejajar dengan laluan lebuh raya dan SSLR,” katanya berucap pada majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina Daerah Limbang 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Premier Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan pengerusi pengelola program Penghulu Ang Chiw Kiam.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Dua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, menjelaskan melalui projek-projek pembangunan ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk mewujudkan peluang ekonomi.
“Begitu juga dengan sektor pelancongan dengan keindahan alam semulajadi seperti Gunung Buda, eko pelancongan dan peluang membangunkan sektor pertanian, moden, penternakan, agrikultur, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan projek lain,”ujar beliau.
Tambahnya, Sarawak mempunyai banyak sumber untuk dibangunkan.
“Usaha membangunkan Sarawak akan diteruskan dan rakyat perlu bekerjasama bersama kerajaan ke arah ekonomi baharu, sekular ekonomi dan semua ini harus melalui penyertaan rakyat supaya kita tidak tertinggal dengan perubahan.
“Aktiviti ekonomi akan terus dipertingkatkan dan rakyat perlu mendokong kepada bentuk ekonomi baharu.
“Ini yang berlaku bukan saja di negara kita tetapi di seluruh dunia juga menerima perubahan dan keupayaan dari segi kemahiran juga diperkasakan,”ujarnya.
Pada masa sama, Awang Tengah memberitahu kestabilan politik, dan keharmonian akan membolehkan kerajaan menumpukan usaha membangun dan membantu rakyat.
“Inilah keunikan yang ada di Sarawak ini, yang mempunyai kepelbagaian kaum dan mampu mengukuhkan kerjasama dan masing-masing bebas mengamalkan ajaran agama mereka,” ujarnya.
“Perayaan Tahun Baharu Cina, bukan saja diraikan satu-satu kaum tetapi dirayakan semua kaum termasuk perayaan utama lain.
“Kita berkongsi perayaan ini, kita harus kekalkan semangat perpaduan, kita tidak mahu sebarang bentuk ekstrim ada dalam masyarakat.
Oleh Adeng Edrus