KUCHING: Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menyambut baik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memberi keizinan kepada pekerja asing yang sah untuk terus bekerja di negeri ini.
SOPPOA dalam kenyataannya semalam menzahirkan kelegaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memahami keadaan buruh di Sarawak.
“Kekurangan pekerja industri kelapa sawit disebabkan oleh jumlah penduduk kecil di negeri ini dengan jumlah pekerja tempatan yang terhad.
“Keperluan untuk bersaing dengan sektor lain yang tidak dianggap pekerjaan 3-d juga menambah kekurangan pekerja di sini selain mereka yang kembali ke negara asal setelah kontrak mereka tamat tanpa penggantian pekerja asing sejak wabak jangkitan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan walaupun sudah beroperasi,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, SOPPOA mendorong para belia tempatan untuk mencari peluang di akademi latihan dari pelbagai syarikat kelapa sawit dan institusi pembelajaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang dapat menyediakan pelbagai pekerjaan dalam industri.
“Industri kelapa sawit di Malaysia sudah berusia lebih dari 100 tahun dan dapat memberikan jaminan pekerjaan jangka panjang serta peluang kewangan bagi mereka yang mencari pekerjaan yang menjanjikan masa depan yang cerah jika mereka tidak memilih dan dapat menyesuaikan diri dengan baik di sektor perladangan,” ujarnya.
SOPPOA mengulangi bahawa pengumuman oleh Pengerusi JPBNS yang membenarkan pekerja Indonesia dengan izin untuk kembali ke Sarawak adalah ‘win-win’ oleh negeri ini memandangkan pembukaan pekerja asing untuk mengatasi kekurangan pekerja yang teruk bagi kelangsungan industri.
“Sebaliknya, cukai pendapatan yang dikutip dari industri akan menyumbang kepada ekonomi negeri sekarang dan untuk masa depan selepas era Covid-19,” jelasnya lagi.