KUCHING: Kerajaan Sarawak optimis dalam mengangkat lebih tinggi martabat Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata ini kerana ia merupakan institusi perundangan dan kehakiman syariah yang mendukung syiar Islam yang perlu terus dipertahan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan sentiasa komited dalam menyokong usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Sarawak.
“Ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.
“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi perundangan dan kehakiman syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata tugas dan tanggungjawab Hakim Syarie, Pegawai Syariah, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Peguam Syarie serta pengamal undang undang syariah yang lain amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.
“Bagaimanapun, anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti
“Insya-Allah, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya
Abang Johari berkata usaha-usaha yang telah diadakan itu adalah penting untuk menambah kemahiran pegawai-pegawai di JKSS bagi menjayakan inisiatif ini.
“Saya berharap agar JKSS terus mencari inisiatif baharu bagi meningkatkan tatakelola penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan bidang kehakiman dan perundangan, agar selari dengan dasar kerajaan ke arah e-kerajaan,” katanya.
Oleh Noor Ikmal