Menempatkan lebih 1,000 ekor buaya pelbagai spesies, Taman Buaya Miri merupakan destinasi taman haiwan di Bandaraya Miri yang paling menarik untuk pelancong lawati.
Ia terletak di Kuala Baram iaitu hanya kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya ini.
Antara spesies buaya yang boleh didapati di taman buaya ini adalah buaya tembaga, buaya katak, buaya jejulong dan buaya albino.
Tempat ini sangat ideal untuk bawa anak-anak mengenali haiwan yang cukup sinonim dengan Sarawak yang terkenal dengan Bujang Senang.
RASAI PENGALAMAN BERI BUAYA MAKAN
Antara tarikan pengunjung di sini adalah melihat buaya yang pelbagai saiz dengan lebih dekat dan juga aksi-aksi ganas ketika sang bedal ini diberi makan.
Pengunjung juga boleh memberi makan buaya dengan membeli makanan yang berupa bangkai ayam dan pastinya pengunjung boleh melihat aksi buaya melonjak tinggi menyambar mangsanya.
PELBAGAI JENIS HAIWAN LAIN
Ia bukanlah sekadar memberi peluang pengunjung untuk mendekati sang bedal ini, tetapi juga banyak haiwan lain di tempatkan di situ yang mana pengunjung melihat haiwan-haiwan itu dari jarak dekat.
Antaranya ialah kuda, beruang, rusa, landak, ular sawa, burung merak, monyet dan pelbagai jenis burung yang jarang ditemui.
Pengunjung juga boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut dengan membeli makanan yang dijual di taman tersebut.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menunggang kuda di situ dengan bayaran yang berpatutan.
DIBUKA SETIAP HARI
Taman ini sudah mula beroperasi selepas ditutup sejak 18 Mac lalu susulan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.
Pengunjung ke taman buaya ini dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.
Oleh Liong Chai Ling