KUCHING: Persediaan menghadapi kecemasan amat penting untuk menyelamatkan nyawa, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, sambil menyeru penglibatan komuniti dan penggunaan teknologi moden dalam menghadapi situasi kritikal.
Berucap pada majlis penutupan Bengkel Persediaan Komuniti dan Mitigasi Risiko di Ang Cheng Ho Innovation Hub hari ini, Dr Sim memuji inisiatif Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang meningkatkan kesedaran awam dan melengkapkan masyarakat dengan kemahiran menyelamatkan nyawa.
“Persediaan adalah kunci utama. Dalam situasi kecemasan, tiada alasan untuk tidak bersedia.
“Teknologi seperti dron kini mampu menghantar Automated External Defibrillators (AED) ke kawasan yang sukar dicapai dengan cepat, manakala kecerdasan buatan (AI) boleh membantu menilai tahap kecemasan perubatan,” katanya.
Dr Sim turut menekankan kepentingan memasang AED di tempat awam seperti premis makanan dan gelanggang sukan.
Harga AED kini dianggarkan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 dengan penekanan diberikan kepada kualiti, khususnya ketahanan bateri, bagi memastikan penggunaannya lebih berbaloi dalam jangka masa panjang.
Beliau juga menekankan peranan latihan dan simulasi dalam melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan serta keyakinan untuk bertindak dalam situasi kecemasan.
“Anda perlukan pengetahuan dan keberanian untuk bertindak.
“Tanpa latihan yang betul, anda mungkin membahayakan keadaan.
‘Latihan seperti ini memastikan orang ramai bersedia mengambil tindakan sewajarnya ketika krisis berlaku,” tambahnya.
Oleh Amanda L.