LAWAS: Kelancaran pendaftaran Sarawak ID dan SPAY Global bagi penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di Lawas sedikit terganggu apabila kaunter SKAS mengalami masalah internet.
Kaunter yang dibuka seawal 8.00 pagi di Arena Lawas diserbu ratusan penduduk yang ingin mendaftar untuk mendapat bantuan SKAS itu.
Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Awang Ibrahim Ahmat yang ditemui pemberita Utusan Sarawak memaklumkan pihaknya turut menyumbang minuman untuk para petugas SKAS.
“Kita tampil membantu apabila pihak Pejabat Daerah Lawas mohon sumbangan untuk petugas khususnya air mineral dan lain-lain.
Pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga turut membantu memastikan pendaftaran untuk SKAS ini berjalan lancar walaupun nampak sedikit tercalar apabila berlaku gangguan capaian internet di Lawas,” katanya ketika ditemui.
Sejumlah enam kaunter pendaftaran dan semakan kelayakan SKAS telah dibuka.
Selain itu terdapat kaunter untuk mereka yang berkeperluan khas dan empat kaunter masing-masing untuk zon Trusan, bandar Lawas, Merapok dan Sundar/Awat-awat.
Melalui tinjauan Utusan Sarawak di sini, kebanyakan yang datang awal ialah warga emas dari kampung-kampung pedalaman termasuk di Ulu Trusan dan Merapok.
Bagi pemohon dari kawasan Ba’kelalan dan sepanjang kawasan tanah tinggi di pedalaman Lawas dijangka sampai ke Arena Lawas pada sebelah petang atau esok pagi.
Bagaimanapun terdapat segelintir yang kecewa apabila mendapati mereka tidak layak dan tidak dapat mengemukakan permohonan SKAS gara-gara tidak memiliki telefon bimbit yang boleh melayari internet serta tidak memiliki Sarawak ID.
Dayangku Sermah Awangku Bakar, 67 tahun dari Trusan sedih kerana terpaksa meminjam telefon anak saudara kerana hanya memiliki telefon model lama yang hanya diguna untuk menerima dan membuat panggilan sahaja.
Keadaan ini turut dialami beberapa lagi penduduk yang datang jauh daripada kawasan ulu dan tanah tinggi yang memberitahu bahawa mereka hanya memiliki telefon jenis lama yang memiliki fungsi terhad.
Suasana tetap terkawal dan tenang kerana petugas di lapangan turut memberi kerjasama baik disamping layanan yang sopan.
Orang ramai masing-masing menunggu giliran dan suasana dalam keadaan terkawal walaupun sekali sekala kedengaran suasana meriah ketika masing-masing menceritakan masalah telekomunikasi yang tenat dialami penduduk Lawas sejak Disember 2024 hingga kini.
Oleh Adeng Edrus