KUCHING: Karya Allahyarham Mohd Hasbie Sulaiman, buku Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam, merupakan langkah penting dalam usaha mengekalkan adat resam dan warisan budaya Melayu Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buku itu signifikan sebagai panduan bagi generasi akan datang kerana mencerminkan nilai dan keunikan budaya Melayu Sarawak.
“Generasi masa kini lebih cenderung mengikuti perkembangan digitalisasi dan cara baharu, sehingga adat lama akhirnya dilupakan.
“Oleh itu, diharapkan buku ini dapat menjadi sumber pengetahuan yang boleh disebarkan ke sekolah-sekolah dan universiti (sebagai bahan rujukan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran buku tersebut di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Menurut wakil keluarga Mohd Hasbie, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, buku tersebut merupakan hasil penambahbaikan yang mendalam terhadap penulisan asal, termasuk sejarah kemasukan Islam di Nusantara dan pengaruh pemerintahan James Brooke.
“Selain itu, buku ini turut membincangkan adat-adat semasa kelahiran anak, perkahwinan, adab berziarah, dan adab kematian,” katanya.
Irwan berkata, manuskrip penulisan baharu tersebut ditaip sendiri oleh Allahyarham Hasbie menggunakan mesin taip, selain terdapat juga bahagian yang ditulis tangan dalam bahasa Malaysia, disertakan dengan petikan ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan upacara dan adat resam Melayu.
“Kemudian, manuskrip tersebut disusun semula oleh Nina Hairani Hasbie (kakak), sebelum diserahkan kepada Juwita Hanis (isteri kepada Datuk Benjamin Hasbie) untuk ditaip semula.
“Buku ini kemudiannya dihasilkan dalam bentuk salinan digital yang boleh dihantar kepada penerbit,” katanya.
Untuk rekod, Allahyarham Hasbie juga telah menulis beberapa buku, antaranya Perjuangan Anti-Cession Sarawak, Rangkaian Pantun Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (A.S), serta Rangkaian Pantun Keagungan Rasulullah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal