KOTA SAMARAHAN: Dalam jangka masa tiga tahun, penduduk serta pengguna jalan raya di sepanjang laluan Jalan Datuk Mohd Musa bakal menikmati infrakstruktur jalan yang lebih selesa dan selamat.
Menteri Kanan Infrastruktur (Kerja Raya) Dato Sri Fadillah Yusof berkata projek menaik taraf jalan sepanjang 11.6 kilometer itu bakal disiapkan dalam masa 36 bulan dengan kos bernilai RM 229 juta.
“Jalan Datuk Mohd Musa Laluan 8101 ini merupakan arteri penghubung terpenting di antara Kota Samarahan dengan Kota Sentosa dan Kota Padawan yang sedang mengalami pembangunan yang pesat.
“Lebih kurang 43 sekolah, lima klinik kesihatan dan penduduk yang menggunakan laluan ini ada sekitar 70,000 orang setiap hari.
“Keadaan ini sudah tentu menjadi satu kesesakan dan bebanan kerana jalan hanya mempunyai dua lorong sahaja,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa di sini, semalam.
Beliau berkata kerajaan pusat telah meluluskan projek bagi penambahbaikan jalan kepada jalan empat lorong dua hala.
“Surat Setuju Terima (SST) projek telahpun dikeluarkan pada 17 Mac 2020 kepada pihak kontraktor berdasarkan perolehan secara tender terbuka.
“Namun kerja-kerja fizikal pembinaan telah mengalami sedikit kelewatan berbanding perancangan asal disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada penduduk sekitar untuk mematuhi arahan laluan trafik seperti apabila projek bermula tidak lama lagi.
“Projek naik taraf ini akan menyebabkan sedikit ketidakselesaan namun ia hanyalah sementara.
“Jika ada masalah, janganlah diviralkan di media sosial, tetapi terus rujuk dengan Jabatan Kerja Raya ( JKR) Sarawak dan kita akan cuba untuk mengurangkan ketidakselesaan itu,” ujar Fadillah.
Skop projek ini adalah menaik taraf jalan 2 lorong 2 hala sedia ada (R5, JKR Standard) kepada jalan 4 lorong 2 hala, dengan piawaian U5, JKR Standard sepanjang 11.6km, menaik taraf jambatan sedia ada kepada 4 lorong merentasi Sungai Sarawak (Jambatan Sg. Semengo, Jambatan Sg. Keranji, Jambatan Sg. Kuap).
Selain itu, termasuk di dalam skop adalah penjajaran bermula dari Batu 8 1/2 Jalan Kuching – Serian (main trunk road), melalui Jalan Datuk Mohd Musa sehingga ke bulatan Jalan Datuk Mohd Musa / Kuching Outer Ring Road dan menambahbaik infrastruktur di kawasan sekitar Jalan Datuk Mohd Musa yang kini sedang mengalami pembangunan pesat seperti pembangunan kawasan perumahan, institusi pendidikan tinggi, pusat komersial dan pusat pentadbiran kerajaan.
Oleh Alexandra Lorna