DI MANA perginya sisa buangan yang dipam dari tandas kapal terbang semasa di udara? Mungkin ada yang terbayang ia akan dilepaskan terus ke permukaan bumi. Namun sebenarnya ia disimpan di dalam tangki khas dalam kapal terbang.
Bagi kebanyakan penumpang, tandas mungkin bukanlah tempat yang akan dikunjungi semasa dalam penerbangan. Tetapi bagi perjalanan yang jauh, mahu tidak mahu, akan tiba ketikanya keperluan untuk ke tandas.
Ketika awal era penerbangan komersial dilancarkan, kemudahan tandas masih belum disediakan di dalam kapal terbang. Para penumpang yang berhajat untuk membuang air kecil atau besar terpaksa menggunakan bekas mudah alih.
Keadaan ini mendatangkan ketidakselesaan dari segi bau dan kebersihan untuk penumpang yang lain. Malah ia boleh menjadi lebih bermasalah jika tumpah disebabkan gelora udara.
Pada 1930-an, syarikat penerbangan seperti Imperial Airways mula memperkenalkan tandas asas dalam kapal terbang besar seperti Handley Page HP42.
Tandas di dalam kapal terbang ini berfungsi secara mekanikal iaitu menggunakan sistem tangki simpanan untuk menampung sisa buangan. Sisa-sisa ini dikumpulkan dalam bekas mudah alih yang perlu dikosongkan secara manual oleh kru selepas penerbangan.
Kemudian pada 1970-an, teknologi sistem vakum mula diperkenalkan dalam industri penerbangan. Sistem ini menggunakan mekanisme penyedutan yang lebih cekap dan bersih berbanding sistem tangki simpanan mekanikal sebelumnya.
Kapal terbang Boeing 747 adalah kapal terbang pertama menggunakan teknologi sistem vakum ini dan seterusnya menjadi standard kepada kapal terbang moden selepas itu.
Sistem vakum yang digunakan dalam tandas pesawat adalah inovasi penting yang menyedut sisa menggunakan tekanan negatif. Apabila butang pam ditekan, sisa ditarik dengan kelajuan tinggi sehingga 110 km/j melalui saluran paip kedap udara ke tangki penyimpanan khas. Tangki ini direka untuk menahan tekanan tinggi dan memastikan tiada kebocoran berlaku semasa penerbangan.
Penggunaan sistem ini juga sangat cekap kerana hanya sedikit air diperlukan untuk membasuh mangkuk tandas. Ini menjadikan tandas mesra alam dan lebih praktikal berbanding tandas biasa kerana setiap kilogram berat dan setiap liter air perlu diurus dengan teliti.
Tangki yang kedap udara ini akan dikosongkan oleh kru penyelenggaraan selepas kapal terbang mendarat. Selain itu, udara di dalam tandas ditapis untuk mengelakkan bau tidak menyenangkan daripada merebak ke kabin bagi memastikan keselesaan penumpang.
Tandas dalam kapal terbang moden yang ada kini dipasang dengan pelbagai ciri canggih bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan keselesaan pengguna.
Setiap permukaan dalam tandas dibuat dengan bahan kalis api untuk mengurangkan risiko kebakaran, manakala lampu jimat tenaga seperti LED digunakan untuk memberikan cahaya yang tenang dan terang, sesuai dengan ruang yang kecil.
Selain itu, reka bentuk tandas menggunakan bahan ringan seperti plastik komposit untuk mengurangkan berat keseluruhan kapal terbang tanpa mengorbankan kekuatan dan ketahanan.
Kemudahan lain yang disediakan di dalam tandas termasuklah pengepam sabun automatik, pemegang tisu dan alat pengesan asap. Beberapa model terkini juga dilengkapi dengan teknologi tanpa sentuh seperti pintu automatik dan sistem pembasmi kuman menggunakan sinaran UV supaya dapat membersihkan tandas secara automatik selepas setiap penggunaan.
Lokasi tandas di dalam kapal terbang ditentukan berdasarkan jenis pesawat dan susun atur kabin. Secara umumnya, tandas diletakkan di tiga lokasi utama iaitu di bahagian hadapan berhampiran kokpit, di bahagian tengah berhampiran pintu kecemasan dan di bahagian belakang berhampiran dapur.
Lokasi-lokasi ini bagi memastikan akses mudah bagi semua penumpang terutamanya dalam penerbangan panjang yang memerlukan penggunaan tandas lebih kerap.
Bagi kapal terbang berbadan lebar seperti Airbus A380, bilangan tandas boleh mencecah sehingga 20 unit berbanding kapal terbang lebih kecil seperti Airbus A320 yang biasanya mempunyai tandas yang lebih sedikit.
Perbezaan ini adalah untuk menampung jumlah penumpang yang lebih besar dalam pesawat berbadan lebar. Selain itu, lokasi tandas juga direka untuk mengekalkan keseimbangan berat pesawat yang penting bagi memastikan kestabilan dan kecekapan penerbangan.
Beberapa kapal terbang terkini, seperti Boeing 777X turut memperkenalkan tandas yang lebih luas untuk kemudahan penumpang dengan keperluan khas termasuk mereka yang menggunakan kerusi roda.
Reka bentuk ini bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan penumpang tetapi juga memenuhi standard antarabangsa untuk menjadikan pengalaman penerbangan lebih inklusif kepada semua golongan.
Satu peristiwa yang melibatkan kegagalan tandas berlaku pada 2018, ketika kapal terbang Delta Air Lines yang berlepas dari Atlanta ke Barcelona terpaksa kembali ke lapangan terbang selepas tangki najis kapal terbang yang telah penuh bocor dan melimpah masuk ke kabin penumpang.
Bau busuk yang terhasil menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang dan anak kapal. Disebabkan keadaan yang tidak terkawal itu, kapal terbang tersebut terpaksa membuat pendaratan kecemasan di bandar terdekat untuk mengosongkan tangki najis.
Insiden sebegini sebenarnya boleh dicegah dengan mengintegrasikan teknologi pintar. Contohnya, sensor yang boleh memantau tahap tangki sisa secara langsung dan menghantar amaran kepada kru sebelum masalah berlaku. Teknologi ini bukan sahaja dapat mengelakkan situasi seperti pendaratan kecemasan akibat tangki penuh tetapi juga memastikan kebersihan dan keselesaan penumpang terjamin sepanjang penerbangan.
Pada masa depan, reka bentuk modular mungkin dapat dihasilkan bagi membolehkan tandas diubahsuai mengikut keperluan penerbangan tertentu.
Misalnya, penerbangan jarak jauh mungkin memerlukan lebih banyak tandas, manakala penerbangan pendek boleh mengurangkan bilangan tandas untuk memberi lebih ruang kepada penumpang.
Tandas yang bersih dan selesa akan menjadikan pengalaman sepanjang penerbangan akan lebih sempurna dan menyenangkan.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.