KUCHING: Pihak polis digesa untuk menjalankan siasatan berhubung kes langgar lari membabitkan seekor anjing liar di Lorong Stampin 7 baru-baru ini dengan kadar yang segera.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, tindakan tidak berkeperimanusiaan yang telah mengorbankan nyawa seekor anjing itu telah menimbulkan keresahan orang ramai.
“Kami bimbang dengan video yang tular menunjukkan seekor anjing dilanggar dan malangnya, anjing itu mati selepas kejadian itu.
“Hari ini, beberapa orang awam yang melihat video itu telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Sehubungan itu, saya dan Pembantu Khas saya, Michael Kong datang ke balai polis untuk menyokong tindakan tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis berhubung insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Polis Sungai Maong, di sini, hari ini.
Sementara itu, Michael Kong berkata insiden itu menekankan keperluan mendesak untuk mengutamakan kebajikan haiwan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu itu.
“Salah satu langkah yang perlu dilaksanakan ialah memperluas Akta Kebajikan Haiwan 2015 ke Sarawak.
“Ini penting bagi memastikan terdapat perlindungan undang-undang yang sewajarnya untuk haiwan dan memastikan mereka yang bertindak kejam dapat menerima hukuman yang setimpal,” tegasnya.
Laporan itu dibuat oleh tiga NGO yang melibatkan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA), Persatuan Masyarakat Penyayang Haiwan Sarawak (HASS) dan PawsofHope.
Pada 16 Januari lalu, insiden langgar lari melibatkan anjing liar itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di Lorong Stampin 7, di sini.
Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian yang berlaku pada sekitar 5.40 petang itu menunjukkan sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih melanggar seekor anjing liar dengan melulu.
Oleh Rynna Sha’erra