BINTULU: Seramai 264 penerima bantuan di Bahagian Bintulu menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM26,400.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan penerima agar mereka dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna.
“Seramai 100 penerima yang hadir pada Majlis Sejambak Kasih hari ini menerima sumbangan tunai sebanyak RM100 setiap seorang serta hamper bernilai RM80 setiap satu.
“Bagi penerima lain yang tidak dapat hadir, sumbangan tunai akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih TBC 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu atas kerjasama dalam menjayakan program seumpama itu.
Tambahnya, kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa komited dalam membantu golongan yang memerlukan, terutamanya sempena perayaan-perayaan besar seperti TBC.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu penerima secara kewangan tetapi juga mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat akar umbi.
“Ia melambangkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir, khususnya ketika meraikan perayaan yang membawa makna besar seperti TBC.
“Sokongan dan komitmen semua pihak amat penting dalam memastikan kelangsungan program seperti ini untuk masa akan datang,” ujar beliau.
Oleh Carolyne Utih