PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak diminta meneliti cadangan untuk mewujudkan beberapa kawasan Parlimen baharu bagi memberi keutamaan kepada keperluan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usul yang diketengahkan adalah untuk menyokong usaha Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Sarawak menambahkan jumlah kerusi Parlimen bagi memenuhi keperluan satu pertiga di Dewan Rakyat.
Roland Sagah yang membentangkan usul itu pada mesyuarat Perwakilan PBB Zon Selatan di sini hari ini turut menyenaraikan usul lain seperti berikut:
- Mengusulkan supaya jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan PBB, tidak dipertandingkan.
- Menyokong dan memberi kuasa penuh kepada Premier Sarawak untuk menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63.
- Menyokong penuh dasar dan strategi pembangunan Premier dan kerajaan Sarawak untuk keterangkuman ekonomi serta mempupuk keharmonian, keseimbangan dan perpaduan rakyat.
- Menyokong penuh kepimpinan Premier Sarawak untuk memastikan Sarawak menjadi wilayah termaju dalam Malaysia serta di rantau Asia.
- Memperkukuhkan aktiviti ekonomi dan menggalakkan keusahawanan dalam dan luar bandar melalui program pembangunan usahawan.
- Menggesa kerajaan Sarawak untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membangkitkan isu berkaitan dengan kaum dan agama di Sarawak bagi memastikan perpaduan dan kemakmuran semua.
- Memperbanyakkan program penerangan, latihan dan pendidikan supaya rakyat boleh mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi digital dan ekonomi baharu.
- Menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam aspek pendidikan melalui pembiayaan dan bantuan serta merealisasikan dasar pendidikan percuma di universiti-universiti milik Sarawak mulai tahun 2026.
- Melebarluaskan dan memperbanyakkan lagi Skim Pembesaran Kampung di kawasan-kawasan Zon Selatan bagi menampung pertambahan penduduk.
Oleh Noor Ikmal