SIBU: Kerajaan Sarawak disarankan memberi perhatian serius terhadap perancangan ekonomi yang dapat menarik dan mengekalkan bakat tempatan, terutama golongan belia di Sibu.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur sahaja tidak mencukupi untuk memacu pertumbuhan, namun mencipta peluang pekerjaan untuk golongan muda juga sangat penting.
“Untuk tempat seperti Sibu, kita perlu menyediakan peluang untuk rakyat kita, terutamanya golongan belia. Infrastruktur memang asas, tetapi peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada generasi muda adalah sama penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Derma Angpao Tahun Baharu Cina Sports Toto yang ke-38 di bangunan Persatuan Foochow Sibu, hari ini.
Ling turut menyuarakan kebimbangan bahawa ramai golongan muda kini meninggalkan Sibu untuk mencari peluang di luar, dengan hampir setiap isi rumah mempunyai anak yang bekerja di luar Sibu.
“Berapa ramai golongan muda dari Sibu yang telah mencapai kejayaan? Berapa ramai usahawan yang telah dihasilkan oleh Sibu? Untuk mengekalkan mereka, kita perlu mencipta persekitaran di mana mereka dapat berkhidmat di kampung halaman sendiri dan berkembang maju di sini,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar ekosistem yang menyokong kejayaan usahawan muda dibangunkan, termasuk mewujudkan pasaran antarabangsa bagi produk tempatan.
“Usahawan dan pengeluar di Sibu seharusnya mendapat peluang untuk mengeksport produk mereka ke luar Sarawak.
“Sibu tidak boleh terhad kepada dirinya sendiri. Kita perlu melihat ke luar, mencari pasaran yang lebih besar, dan mencipta peluang untuk industri di Sibu. Dengan perancangan ekonomi yang betul, pelabur antarabangsa akan mula melihat Sibu sebagai tempat yang berpotensi untuk pelaburan,” ujarnya.
Ling juga menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada perancangan ekonomi yang lebih holistik agar Sibu dapat berkembang setaraf dengan bandar-bandar besar seperti Kuching, Bintulu, dan Miri.
“Perancangan ekonomi yang strategik dan fokus kepada pembangunan adalah kunci untuk memastikan Sibu berkembang dan menarik pelaburan pada masa hadapan,” jelasnya.
Oleh Tarani Lanting