KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Rajang berhampiran Jeti Sedaya kelmarin, giat dijalankan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini bermula pada 8.45 pagi tadi.
Menurut beliau, operasi ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM), dan penduduk kampung.
“Sehingga kini, usaha mencari mangsa masih giat diteruskan. Operasi dijangka berlanjutan sehingga petang sekiranya mangsa masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, seorang pengadu memaklumkan anaknya hilang di Sungai Rajang berhampiran Jeti Sedaya selepas menghantar isterinya (mak mangsa) ke Hospital Kanowit.
Mangsa dikenali sebagai Lau Kim Hock, dilaporkan memakai baju hitam dan berseluar jean pendek.
Menurut saksi di tempat kejadian, perahu mangsa berpusing-pusing di sekitar jeti tersebut dengan keadaan enjin sangkutnya masih hidup tanpa melihat sesiapa yang mengendalikannya sebelum memaklumkan kepada pengadu.
Jarak rumah mangsa dari tempat perahu dijumpai adalah lebih kurang empat kilometer di Sungai Rajang, Kanowit.
Sehingga berita ini ditulis, operasi SAR masih dijalankan.