PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak merancang untuk mempromosikan pembangunan industri sukan dengan mempertimbangkan penubuhan jurusan Sains Sukan sama ada di Universiti Teknologi Swinburne atau Kolej Universiti i-CATS.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Swinburne berpotensi besar sebagai pusat kecemerlangan kerana kehadiran pelajar dari pelbagai latar belakang dan negara di seluruh dunia.
“Usaha itu akan mendorong percampuran yang melibatkan pertukaran budaya dan sukan antara pelajar antarabangsa.
“Sarawak memiliki ramai individu berbakat dalam bidang sukan, termasuk Datuk Pandelela Rinong, pasukan bola sepak yang berpotensi, dan pasukan kriket wanita yang turut berasal dari Sarawak (kapten Skuad Wanita Kebangsaan, Nur Dania Syuhada),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Padang Kriket Borneo di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyatakan bahawa kerajaan Sarawak sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk memberi penekanan terhadap sukan di peringkat sekolah.
“Kita perlu bermula dari peringkat sekolah, melalui penubuhan sekolah sukan, kerana mereka perlu dilatih sejak usia muda.
“Setelah dilatih sejak kecil, atlet-atlet ini dapat memperdalamkan ilmu sukan mereka dengan melanjutkan pengajian di peringkat universiti yang menawarkan disiplin sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menjelaskan bahawa fasiliti Padang Kriket Borneo yang baru sahaja dirasmikan itu direka bentuk mengikut standard antarabangsa.
“Kita memerlukan tempat dan fasiliti yang sesuai untuk melatih atlet supaya mereka dapat bersaing setanding dengan atlet luar negara.
“Justeru, kerajaan Sarawak telah melabur jumlah yang besar untuk membangunkan fasiliti sukan seperti Padang Kriket Borneo ini.
“Sekarang, kita perlu melengkapkan fasiliti sukan yang berkualiti, bukan hanya untuk sukan kriket, malah juga untuk semua sukan lain, bagi memastikan ia mencapai standard antarabangsa,” katanya.
Fasiliti baharu Padang Kriket Borneo yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan itu menelan kos sebanyak RM6.5 juta.
Fasiliti ini dibina bagi persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Piala Dunia Kriket T20 Wanita, Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) bawah 19 tahun, yang dijadualkan berlangsung pada hari ini hingga Isnin depan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal